Kenapa Dubai Kaya-Raya?

1,256

Bandar Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) terkenal dengan gaya hidup penduduknya yang mewah, memiliki bangunan paling tinggi di dunia iaitu Burj Khalifa malahan anggota polis juga memakai kenderaan mewah.

Namun apakah yang membuatkan Dubai menjadi kaya?

Pada tahun 1966, minyak pertama kali ditemukan di Dubai namun tidak sampai 1% hasil sumber minyaknya disumbangkan kepada negara.

Kalau bukan disebabkan minyak, apakah yang membuatkan Dubai kaya? Salah satu sebab utamanya adalah lokasi Dubai yang strategik untuk aktiviti maritim.

Dubai dahulunya hanya sebuah bandar nelayan biasa tetapi menjelang abad ke-20, Dubai menjadi kawasan pelabuhan perdagangan yang penting kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Iran dan pintu masuk Teluk Parsi.

Pelabuhan kargo Jebel Ali merupakan pelabuhan yang paling sibuk di Timur Tengah dan aset paling bernilai buat UAE.

Selain itu, pelabuhan itu juga terletak di dalam Zon Bebas Jebel Ali yang dikenali sebagai Jafza. Jafza adalah zon bebas ekonomi terbesar di dunia.

Jafza merupakan salah satu daripada lebih 20 zon bebas sekitar Dubai. Zon-zon ini menarik perniagaan dengan pelepasan cukai, faedah duti kastam serta tanpa sekatan pemilikan asing.

Di Jafza, terdapat beribu syarikat yang menyumbang lebih 20% daripada jumlah pelaburan asing di UAE. Malahan, seramai 150,000 pekerja diambil bekerja di zon ini untuk membantu menjana pendapatan lebih daripada AS$80 bilion, yang menyumbang kira-kira 21% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Dubai.

Selain itu, faktor kos tenaga buruh yang rendah juga menjadi sebab mengapa Dubai kaya.

UAE mempunyai populasi imigran keenam terbesar di dunia. Kira-kira 80% rakyat asing tinggal di negara berkenaan manakala kebanyakan pekerja buruh adalah masyarakat rantau Asia Selatan yang diberikan gaji rendah, dipaksa bekerja dengan teruk dan tidak dapat pulang ke negara asal kerana pasport mereka ditahan.

Bagaimanapun, pada tahun 2007, UAE memperkenalkan undang-undang baharu selepas tindakan mereka mendapat kecaman masyarakat antarabangsa.

Di bawah undang-undang baharu itu, setiap pekerja asing diberikan cuti selama 30 hari setahun, insurans perubatan dan kontrak kerja.

Meskipun begitu, Dubai bukanlah bandar terkaya di UAE walaupun kapasitinya yang paling besar dan mempunyai populasi penduduk yang tinggi.

Abu Dhabi adalah bandar paling kaya di negara terbabit. Bandar itu telah menjumpai minyak pada tahun 1930-an lagi, beberapa puluh tahun lagi awal daripada Dubai.

Perkara berkenaan berlaku pada waktu yang sama dengan kemerosotan industri mutiara, yang mengakibatkan tekanan berlaku antara kedua-dua negeri itu.

Ketegangan peristiwa tersebut amat meruncing sehingga menyebabkan konflik bersenjata pada tahun 1947 kerana pertikaian berkaitan sempadan namun campur tangan British telah meredakan permusuhan antara Dubai dan Abu Dhabi.

Dubai terpaksa menanggung kesan yang buruk akibat konflik berkenaan, rakyat kebuluran dan terpaksa berpindah ke wilayah lain.

Pada masa itu, pemerintah Dubai iaitu Sheikh Rashid bin Saeed Al Maktoum memutuskan untuk membina infrastruktur. Bagi merealisasikan hasratnya itu, beliau membuat pinjaman wang yang banyak menerusi aktiviti perdagangan Dubai.

Beliau menggunakan pinjaman berkenaan untuk menubuhkan syarikat swasta yang kemudiannya membina bekalan elektrik, perkhidmatan telefon, lebih banyak pelabuhan dan lapangan terbang pertama di Dubai.

Pada tahun 1966, hubungan Dubai dan United Kingdom (UK) menjadi semakin akrab berikutan penemuan minyak yang pertama. Ketika itu, Sheikh Rashid memberitahu meskipun minyak sudah dijumpai namun jumlahnya tidak banyak.

Bagaimanapun, Dubai tidak bergantung kepada penjualan minyak untuk berkembang maju. Sebagai ganti, minyak itu digunakan untuk meningkatkan ekonomi perdagangan, pelancongan dan kewangan.

Pendekatan terbabit dilihat berkesan kerana penggunaan tenaga boleh diperbaharui meningkat dan Dubai tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada hasil minyak.

Kini, Dubai menjadi sebuah bandar yang kaya-raya dan mampu membangun dengan pantas.

 

 

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat