Dolar greenback cuba untuk bangkit dari paras terendah 2 setengah tahun ketika sesi Eropah bermula, dengan pasaran terus menumpukan perhatian kepada perkembangan mengenai bantuan coronavirus AS dan perjanjian perdagangan Brexit.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding kebanyakan matawang utama didagangkan stabil pada 90.72 di sekitar paras terendah 2 setengah tahun.
Pemimpin Majoriti Senat AS, Mitch McConnell mengatakan sudah tiba masanya untuk mencari kata sepakat mengenai pakej bantuan coronavirus. Beliau bagaimanapun masih belum berganjak untuk bertindak.
Sementara itu, Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi memberitahu Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin bahawa masalah yang masih belum selesai, boleh diselesaikan secepatnya.
Namun begitu, perkembangan positif ini dilihat gagal merangsang peningkatan matawang berisiko yang mempamerkan pergerakan suram pada sesi dagangan hari ini.
Kelemahan ini mungkin disebabkan kebimbangan pasaran terhadap peningkatan berterusan kes Covid-19 di seluruh dunia sehingga menyebabkan beberapa negara melaksanakan sekatan lebih ketat, terutamanya di Eropah.
Rentetan daripada peningkatan mendadak kes jangkitan di UK, sekatan coronavirus yang lebih ketat akan dilaksanakan di London mulai hari Rabu, sementara Jerman pula melanjutkan penutupan sehingga 10 Januari.
Euro mencatatkan sedikit penyusutan, namun kekal didagangkan menguat di atas paras harga 1.21000 berbanding US dolar.
Dolar Aussie pula sedikit lemah berikutan prospek bahawa bank pusat Australia akan melanjutkan pelonggaran kuantitatif sehingga tahun depan, selain turut ditekan oleh ketegangan antara Australia dan China.