Keputusan Penawar COVID-19 Mengecewakan, Saham Gilead Kembali Menjunam!

638

Dalam tempoh seminggu, saham syarikat Gilead Sciences Inc. telah jatuh sebanyak dua kali setelah percubaan China untuk mencipta penawar Covid-19 menunjukkan hasil yang gagal.

Dikatakan syarikat itu dan saintisnya yang sedang menjalankan percubaan tersebut tidak menunjukkan keputusan yang jelas menyebabkan saham Gilead ditutup lebih rendah menurun 4.3% kepada $77.78 semalam. Saham utama turut catat kejatuhan dengan S&P 500 berakhir pada 0.05%.

Ubat Gilead, remdesivir sebelum ini dikenalpasti sebagai penawar baru kerana potensinya dalam merawat pesakit Covid-19. Namun, keputusan kajian masih tidak matang untuk dihebahkan kepada umum kerana jumlah pesakit yang tidak mencukupi.

Merujuk kepada kebocoran maklumat keputusan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengakui pihak mereka secara tidak sengaja mendedahkan keputusan ujian tersebut ke laman web rasmi dan segera memadamnya setelah menyedari kesilapan tersebut.

Financial Times dan penerbitan Stat yang berjaya mendapatkan maklumat tersebut sebelum dipadam, melaporkan bahawa ubat itu tidak mempunyai bukti pesakit semakin sembuh. Sebaliknya, 13.9% pesakit yang mendapat rawatan ubat tersebut telah meninggal dunia manakala 12.8% sedang mendapat rawatan biasa.

Sebelum ini pada 17 April, saham Gilead meningkat 9.7% apabila pihak pelabur mendapati ubat tersebut dapat membantu beberapa pesakit di Chicago melalui percubaan yang berasingan.

Jurucakap Gilead, Amy Flood menjelaskan, kajian tersebut tidak sepenuhnya gagal. Keputusan ujian membuktikan remdesivir memberi kesan positif terhadap pesakit yang mendapat rawatan awal berbanding pesakit yang sudah kritikal dengan latar belakang penyakit yang serius selain Covid-19.

Menurut Michal Yee, penganalisis di Jefferies Financial Group Inc. New York, keputusan ubat Gilead ke atas pesakit kritikal dijangka akan dikeluarkan pada minggu hadapan. Buat masa sekarang jumlah pesakit kritikal yang sedikit menyebabkan kajian remdesivir sukar untuk dikenalpasti keberkesanannya.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat