Kerajaan AS Cari Gaduh Lagi Dengan Google!

837

Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman terhadap Google selepas syarikat itu didakwa melanggar undang-undang persaingan bagi melindungi monopolinya terhadap enjin carian internet dan pengiklanan dalam talian.

Tuntutan saman itu adalah yang terbesar dibuat oleh pihak berkuasa AS terhadap sesebuah firma teknologi terkemuka dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Lapor BBC, tuntutan itu yang difailkan di mahkamah Persekutuan oleh Jabatan Kehakiman AS dan 11 negeri lain, memfokuskan mengenai kos berbilion dolar yang dibayar oleh Google setiap tahun bagi memastikan enjin cariannya dipasang sebagai pilihan asas pada semua pelayar Internet dan peranti seperti telefon pintar.

Pihak berkuasa AS menyatakan perjanjian itu membolehkan Google mengekalkan kedudukan sebagai ‘gatekeeper’ kepada Internet, sekali gus membenarkan syarikat itu memiliki dan mengawal saluran pengedaran untuk kira-kira 80% carian di Internet bagi pengguna di AS.

Tambah tuntutan itu, perjanjian berbilion dolar Google itu telah menjejaskan orang ramai dengan ‘merosakkan’ kualiti carian di Internet dari segi privasi dan perlindungan data selain mengehadkan pilihan dan menggagalkan inovasi

Google menyifatkan kes itu sebagai tidak wajar serta menegaskan bahawa sektornya terus bersaing dan mengutamakan pelanggan terlebih dahulu.

“Orang ramai menggunakan Google kerana mereka yang memilih, bukan kerana mereka dipaksa atau tidak boleh mencari alternatif lain,” kata kenyataan dikeluarkan oleh Google.

Sebelum ini, Google turut berdepan tuntutan serupa daripada Kesatuan Eropah (EU) berjumlah AS$9.5 bilion sejak 2017-2019. Kes-kes itu bagaimanapun masih dalam proses rayuan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat