Kerajaan Malaysia Akan Pulihkan Ekonomi Selepas Tempoh PKP!

396

Pada pertengahan Mac lalu, kerajaan Malaysia telah pun menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19. Melalui penguatkuasaan tersebut, kebanyakan sektor perniagaan terpaksa ditutup dan tidak dapat beroperasi seperti biasa. Sehubungan dengan itu, ekonomi negara juga terjejas. Terkini, jumlah kes COVID-19 di Malaysia telah mencecah 5,603 dengan angka kematian sebanyak 95. Walau bagaimanapun, PKP yang dilaksanakan menunjukkan impak yang positif apabila kes semasa berjaya mencatatkan penurunan iaitu di bawah angka 100 pada setiap hari serta bilangan pesakit yang sembuh di negara kita adalah paling tinggi di dunia, sebanyak 3,542.

Dalam sebuah perutusan khas sempena bulan Ramadan semalam, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendedahkan bahawa pihak kerajaan akan memulihkan ekonomi negara dalam kadar segera setelah tamatnya PKP dengan menyusun semula kerangka ekonomi bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi memperkukuh kedudukan kewangan negara. Oleh itu, Menteri Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perdana Menteri akan merangka Pelan Kebangkitan Ekonomi yang merangkumi 3 jangka masa tersebut.

Selain itu, beliau menekankan bahawa perlaksanaan beberapa langkah dan inisiatif ini adalah penting bagi mendorong pembangunan ekonomi sekaligus menarik perhatian dan menanam kepercayaan para pelabur untuk terus merancakkan ekonomi negara. Tambahan daripada itu, beliau mengemukakan bahawa antara inisiatif yang direncanakan adalah untuk membangun kemampuan dan keterampilan rakyat, meningkatkan perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan memupuk persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa depan.

Sementara itu, beberapa buah syarikat di sektor tertentu akan dibenarkan beroperasi meskipun dalam tempoh PKP, akan tetapi perlu patuh dengan syarat-syarat yang penting bagi menjamin keselamatan pekerja, mempraktikkan jarak sosial dan memastikan kebersihan tempat kerja.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat