Kerana Kerugian Besar, Pemegang Saham Nak Tuntut Saman Terhadap Apple?

823

Syarikat Apple Inc kini berdepan dakwaan berkenaan penyembunyian maklumat penurunan permintaan produknya, iPhone yang tidak didedahkan terutama di China hingga menyebabkan kerugian besar pemegang saham yang bernilai puluhan bilion dolar.

Dalam menolak beberapa dakwaan tersebut, Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS), Yvonne Gonzalez Rogers telah memutuskan bahawa pemegang saham boleh mengeluarkan saman terhadap komen oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Tim Cook dalam sebuah pertemuan mengenai permintaan iPhone yang tinggi pada 1 November 2018, beberapa hari sebelum Apple memberitahu pengeluar terbesarnya untuk menghentikan pengeluaran.

Menurut Rogers lagi, perkara tersebut begitu mustahil bagi Cook untuk tidak cakna berkenaan permintaan di China yang susut hanya beberapa hari sebelum keputusan pengurangan produk tersebut jika tiada sebarang faktor yang mendorong seperti bencana alam atau sebarang campur tangan luar.

Hakim California juga memberitahu bahawa keputusan Apple untuk menghentikan laporan berkenaan jualan iPhone mungkin membuktikan tertuduh sudah menjangkakan jualan tersebut akan menurun.

Aduan tersebut yang dilakukan oleh Employees’ Retirement System bagi Daerah Rhode Island merupakan tindakan selepas Cook pada 2 Januari 2019 secara mengejut mengurangkan jangkaan pendapatan suku tahunan Apple dengan nilai sehingga AS$9 bilion berikutan tekanan perdagangan antara AS-China.

Tindakan Cook itu merupakan kali pertama sejak pelancaran iPhone pada 2007 yang mana pada ketika itu syarikat yang berpangkalan di Cupertina, California terpaksa mengurangkan jangkaan pendapatan tahunan. Saham Apple dilaporkan susut 10% pada hari berikutnya, melenyapkan nilai pasaran berjumlah AS$74 bilion.

Dalam pertemuan tersebut, Cook menjelaskan produk mereka, iPhone XS dan XS Max mendapat sambutan yang sangat baik dan beliau turut berpendapat mengenai beberapa pasaran baru muncul menghadapi tekanan penurunan jualan dan China tidak sepatutnya diletakkan di dalam kategori tersebut.

Pengadu juga mendedahkan bahawa pada pertengahan November 2018, Apple memberitahu Foxconn dan Pagatron untuk menangguh rancangan pengeluaran rangkaian iPhone yang terbaru dan pembekal utama juga dimaklumkan untuk mengurangkan penghantaran keperluan.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat