Kes Covid-19 Terus Meningkat, Pelabur Tak Senang Duduk

288

Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini setelah mengambil petunjuk daripada kenaikan Wall Street dalam tempoh semalaman didorong sentimen pasaran stabil dalam konteks global susulan kebimbangan terhadap prospek kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) semakin reda.

Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi petunjuk pasaran meningkat 3.16 mata atau 0.20% kepada 1,580.98 daripada 1,577.82 ketika ditutup pada Selasa lalu.

Bernama melaporkan, indeks itu dibuka 1.54 mata lebih kukuh kepada 1,579.36.

Bagi pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 258 berbanding 173 manakala 243 kaunter tidak berubah, 1,517 kaunter tidak diniagakan dan 39 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 350.73 juta unit bernilai RM165.82 juta.

Pasaran ditutup semalam susulan pelepasan am bagi Hari Wesak.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, memandangkan sentimen pasaran stabil dalam keadaan kebimbangan mengenai prospek kadar faedah AS yang semakin reda, pelabur mungkin menumpukan semula syarikat-syarikat yang mencatatkan pertumbuhan.

Namun, firma pembrokeran itu mengingatkan sentimen pasaran dijangka lemah berikutan kes Covid-19 di Malaysia terus meningkat, manakala pelaksanaan vaksin sedikit perlahan.

“Secara teknikal, indeks utama mungkin mencatatkan dagangan dalam julat kecil di bawah paras 1,600 dengan sokongan pada 1,555 hingga 1,565 manakala rintangan pada 1,590 hingga 1,600,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank naik enam sen kepada RM4.23, IHH meningkat lapan sen kepada RM5.27, Maybank dan CIMB masing-masing menokok empat sen kepada RM8.37 dan RM4.25, sementara Petronas Gas menambah 20 sen kepada RM16.18.

Antara saham aktif, SC Estate meningkat 2.5 sen kepada 12.5 sen, Tanco naik setengah sen kepada 14.5 sen, Sedania melonjak 16 sen kepada RM1.36, Tomypak menokok 1.5 sen kepada 2.5 sen dan Sanichi turun setengah sen kepada tujuh sen.

Saham paling untung, Nestle melonjak RM1.10 kepada RM136.40, sementara MPI muncul sebagai saham paling rugi apabila susut 36 sen kepada RM37.32.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 42.40 mata kepada 11,534.70 dan Indeks FBMT 100 menokok 36.14 mata kepada 11,218.08.

Indeks FBM Emas Syariah menambah 27.92 mata kepada 12,815.18, FBM 70 melonjak 101.37 mata kepada 14,935.40 dan FBM ACE meningkat 98.18 mata kepada
7,947.91.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 116.14 mata kepada 15,010.13, Indeks Perladangan naik 5.53 mata kepada 6,945.75 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.24 mata kepada 192.30.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat