Kesan Sampingan Vaksin, Terima RM500,000 Oleh Kerajaan

828

Kerajaan mengumumkan peruntukan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi bantuan khas kewangan bagi penerima vaksin Covid-19 yang mengalami kesan sampingan serius selepas menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba, bantuan khas tersebut dibahagi kepada dua kategori iaitu bantuan khas RM50,000 sekiranya berlaku kesan sampingan serius sehingga memerlukan rawatan berpanjangan di hospital dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan oleh vaksin Covid-19.

Tambah Adham, dana terbabit adalah di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi tujuan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin Covid-19.

“Bantuan khas ini adalah langkah proaktif kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan daripada penggunaan vaksin Covid-19,” ujarnya seperti dipetik oleh Bernama.

Adham berkata, sebanyak 20 kes kesan sampingan telah direkodkan setakat 18 Mac lalu namun bagaimanapun tiada kematian dikaitkan dengan vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, kerajaan akan membatalkan pelan untuk melakukan suntikan dos kedua vaksin Pfizer kepada sesiapa yang telah menerima dos pertama bagi mempercepatkan program vaksinasi.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan yakin Pfizer akan mampu membekalkan 32 juta dos kepada Malaysia.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kerajaan akan meningkatkan dana imunisasi Covid-19 kepada RM5 bilion bagi mempercepatkan sasaran vaksinasi sebanyak 80% daripada 32 juta orang penduduk negara ini menjelang Disember, berbanding Februari tahun hadapan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat