Kesatuan Eropah Akan Guna Dana $2.7 Bilion Dolar, Beli Vaksin

366

Kesatuan Eropah (EU) dikhabarkan bersedia untuk menggunakan dana kecemasan sebanyak $2.7 bilion dolar untuk membuat pembelian awal vaksin COVID-19. Inisiatif itu telah dibincangkan dalam pertemuan duta besar EU semalam setelah Jerman, Perancis, Itali dan Belanda menyatakan bahawa mereka akan mempercepat rundingan dengan syarikat farmaseutikal bagi mendapatkan akses kepada vaksin yang sedang dibangunkan.

Selain itu, dana yang dikenali sebagai Instrumen Bantuan Kecemasan (ESI) itu juga akan digunakan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran vaksin di Eropah dan menawarkan insurans liabiliti kepada syarikat farmasi. Untuk pengetahuan semua, dana ESI dikendalikan oleh Suruhanjaya Eropah, yang mewakili 27 buah negara EU.

EU dikatakan mengikut jejak langkah Amerika Syarikat bagi mendapatkan vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan termasuk satu pertiga dari satu bilion dos pertama yang dirancang oleh farmasi AstraZeneca.

Menurut seorang pegawai EU, langkah tersebut perlu diambil meskipun terpaksa berhadapan dengan risiko kerugian jika kebanyakan vaksin yang dibangunkan tidak berjaya merawat penyakit berjangkit itu.

Berdasarkan sebuah laporan, Jerman, Perancis, Itali dan Belanda sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa firma farmasi termasuk AstraZeneca mengenai dana penyelidikan kerajaan dan jaminan pembelian. Walau bagaimanapaun, AstraZeneca tidak mahu mengemukakan apa-apa respon berkenaan perkara tersebut.

Di samping itu, EU juga bimbang jika dos vaksin yang dibangunkan tidak mampu menampung keperluan kira 450 juta penduduknya. Oleh itu, strategi vaksinasi akan dijalankan dengan memberi keutamaan kepada orang-orang yang sangat memerlukan, seperti perubatan, jururawat dan orang tua. Akan tetapi, EU tidak menjelaskan bagaimana inisiatif itu akan diselaraskan dengan rancangan setiap negara anggota untuk mendapatkan vaksin dari syarikat farmaseutikal.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat