Kesepakatan Perjanjian Antara Mexico-AS Meredakan Sentimen Pasaran Yang Berisiko

271

Selepas menerima tekanan oleh faktor ketegangan perang dagang dan laporan pekerjaan NFP yang merosot minggu lalu, dolar Amerika Syarikat pada dagangan Isnin minggu ini sedikit pulih berikutan kesepakatan perjanjian yang dicapai antara Amerika Syarikat dan Mexico dan mengelakkan perang tarif berlaku. Penangguhan tarif tersebut sedikit meredakan kebimbangan pelabur terhadap risiko dalam pasaran kewangan.

Presiden Donald Trump sebelum ini telah mengancam untuk mengenakan tarif 5% terhadap kesemua barangan import Mexico jika tindakan pengetatan sempadan tidak dilaksanakan. Pada Jumaat, Mexico telah bersetuju untuk mengetatkan kawalan sempadan dengan pasukan keselamatan bagi membendung aliran pendatang ke sempadan Amerika Syarikat.

Namun begitu, sentimen pasaran masih dilihat agak berisiko dengan kebimbangan terhadap perang dagang AS-China yang masih berlanjutan serta ancaman tarif Trump terhadap Jepun dan Eropah turut mengundang kegelisahan pelabur dalam memilih aset berisiko dalam pasaran.

Pelabur akan memberi perhatian terhadap rundingan Trump bersama rakan sejawatannya dari China, Presiden Xi Jinping pada penghujung bulan ini. Amerika Syarikat bakal meneruskan tindakan tarif yang baru terhadap China jika rundingan tersebut gagal mencapai kesepakatan kedua-dua pihak.

Faktor tersebut juga turut memberi tempias dan menambahkan lagi tekanan terhadap dagangan Aussie yang didagangkan lemah pada permulaan minggu ini selepas terkesan oleh data import China yang dicatatkan merosot.

Pound Sterling menunjukkan penurunan pada dagangan semalam selepas data menunjukkan ekonomi Britain bergerak perlahan pada April dan penganalisis berpendapat Sterling akan terus diberi tekanan sementara penggantian calon bagi menggantikan Theresa May yang melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Tumpuan pelabur untuk dagangan Sterling hari ini adalah kepada data indeks purata pendapatan suku tahunan yang akan dikeluarkan pada jam 4.30 petang. Pasaran menjangkakan angka bacaan data sedikit menurun berbanding sebelumnya.

Dolar Euro berjaya melonjak pada dagangan minggu lalu selepas ECB membuat kenyataan bahawa kadar faedah akan kekal di tahap yang sekarang sehingga pertengahan 2020 dan bukannya memberi petunjuk untuk penurunan kadar seperti yang dijangkakan ramai.

Namun, matawang Eropah tersebut mula goyah selepas sumber mengatakan penggubal polisi European Central Bank (ECB) terbuka untuk tindakan menurunkan kadar faedah ekoran pertumbuhan ekonomi pada zon Eropah yang kekal perlahan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat