Ketidakpastian Hubungan UK-EU Kembali Melemahkan Dagangan Pound

226

Ketidakpastian dalam hubungan UK dan Kesatuan Eropah (EU) kembali memberi tekanan kepada dagangan matawang pound yang sebelum ini meningkat susulan kadar inflasi UK menunjukkan peningkatan tertinggi dalam tempoh 6 bulan.

Indeks harga pengguna tahunan pada Januari pula meningkat kepada 1.8% berbanding 1.3% yang dicatatkan pada Disember, menunjukkan bacaan yang tidak jauh daripada sasaran 2% Bank of England (BoE).

Menjelang rundingan perdagangan formal EU dan UK yang akan dimulakan Mac depan, duta-duta EU dikatakan gagal membincangkan pendirian mengenai rundingannya dengan UK berhubung peraturan perdagangan selepas Brexit.

Hal ini mungkin akan menyebabkan Ketua Perunding EU, Michel Barnier perlu memulakan perbincangan dengan UK tanpa mandat rasmi yang ditandatangani oleh 27 negara anggota EU yang lain atau mengakibatkan berlaku kelewatan untuk memulakan rundingan.

Sumber EU memberitahu bahawa duta-duta EU akan bertemu lagi pada Isnin depan dengan harapan supaya dapat mencapai persetujuan bersama untuk membolehkan rundingan dimulakan dengan lancar.

Sekiranya persetujuan dapat dicapai, dokumen tersebut kemudiannya akan disahkan oleh Majlis Hal Ehwal Umum di Brussels pada Selasa depan.

Sementara itu dalam laporan berasingan, EU dilaporkan telah menuntut UK supaya mengemukakan jaminan persaingan yang adil untuk mendapatkan perjanjian perdagangan bebas.

Penasihat kepada Michel Barnier iaitu Stefaan de Rynck juga mengatakan rundingan perdagangan akan menjadi lebih sukar daripada rundingan Brexit disebabkan oleh skop dan batas masa mereka yang lebih luas.

Kebimbangan pasaran terhadap ketidakpastian ini telah mendorong pasangan matawang GBP/USD untuk mencatat penurunan lebih 100 pips sejak sesi Eropah semalam.
Seterusnya, tumpuan pasaran kini beralih kepada pengeluaran data jualan runcit UK yang dijangka meningkat pada bulan Januari.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat