Kiwi Menjunam Berbanding Matawang Utama Lain Selepas Keputusan Kadar Faedah Diumumkan

529

Matawang dolar Amerika Syarikat meningkat semula pada dagangan Rabu selepas risiko terhadap sentimen dilihat pelabur kembali pulih berikutan peningkatan pada hasil perbendaharaan Amerika Syarikat yang telah jatuh ke paras terendah 15 bulan pada minggu ini.

Peningkatan positif tersebut adalah terkesan oleh kenaikan pada pasaran saham Wall Street walaupun data ekonomi domestik melibatkan sektor perumahan dan keyakinan pengguna dicatatkan lemah semalam.

Pemulihan pada dagangan USD turut memberi tekanan terhadap dagangan Euro yang masih berisiko. Dagangan Euro kekal berisiko sehingga semalam selepas data pembuatan di Jerman yang dikeluarkan pada Jumaat lalu mencatatkan bacaan yang lemah berbanding jangkaan sekaligus meningkatkan lagi kebimbangan terhadap ekonomi terbesar di zon Eropah itu.

Pound Sterling pula menunjukkan peningkatan pada dagangan Selasa selepas dua ahli parlimen euroskeptik memberi isyarat seakan bersetuju untuk menyokong pelan perjanjian Brexit Perdana Menteri Britain, Theresa May berbanding risiko pembatalan Brexit oleh Parlimen UK.

Undian oleh ahli parlimen akan diteruskan lagi pada hari ini untuk memberi peluang kepada Parlimen sama ada bersetuju dengan pelan cadangan yang diberikan seterusnya berusaha untuk meyakinkan kerajaan ke arah keputusan tersebut.

Matawang komoditi dolar AUD mempamerkan pergerakan positif harga sepanjang dagangan semalam dengan beberapa faktor yang menyokong termasuk ekonomi di China. Namun, atas faktor serantau, dagangan Aussie pada sesi Asia pagi ini sedikit menurun terkesan oleh keputusan kadar faedah di New Zealand sebentar tadi.

Pada jam 9 pagi ini, tumpuan terarah kepada keputusan penetapan kadar faedah oleh Reserve Bank of New Zealand (RBNZ). Kadar faedah terus dikekalkan di paras 1.75% tidak berubah sepertimana yang telah dijangkakan oleh pasaran.

Penggubal dasar menilai dari sudut prospek ekonomi global yang lemah, khususnya melibatkan rakan dagang utama termasuk Australia, Eropah dan China serta momentum yang perlahan pada perbelanjaan domestik, memberi isyarat yang dovish terhadap langkah kenaikan kadar yang berikutnya.

Kiwi ketara diniagakan lemah berbanding matawang utama yang lain pada sesi Asia hari ini. Dagangan pada chart pasangan matawang NZD/USD pada pagi ini mencatatkan terjunan harga sehingga 100 pips dalam masa satu jam sahaja setakat jam 10 pagi ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat