KLK Paling Untung!

407

Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) mendahului senarai kaunter paling untung di Bursa Malaysia hari ini selepas merekodkan peningkatan keuntungan bersihnya sebanyak 18 kali ganda pada suku kedua berakhir 31 Mac 2021 (2QFY21) kepada RM490.44 juta berbanding RM27.89 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Pada 9.30 pagi, saham itu ‘meroket’ 46 sen atau 2.09% kepada RM22.48 dengan 68,300 saham diniagakan. Pada paras terbabit, permodalan pasarannya bernilai RM23.7 bilion.

Syarikat induknya, Batu Kawan Bhd turut menerima impak susulan berita baik itu apabila menjadi kaunter kelima paling untung pada sesi dagangan pagi ini.

Kaunter tersebut melonjak 20 sen atau 1.05% kepada RM19.20 dengan permodalan pasarannya bernilai RM7.6 bilion.

Peningkatan keuntungan bersih KLK didorong oleh harga komoditi yang tinggi dan pendapatan yang kukuh daripada segmen pembuatan dan hartanah.

Sementara itu, pendapatan KLK menokok naik sebanyak 18.5% kepada RM4.51 bilion berbanding RM3.81 bilion sebelum ini. KLK mengumumkan dividen interim 20 sen sesaham, meningkat daripada 15 sen 2QFY20, yang akan dibayar pada 3 Ogos.

Dalam pada itu, Public Investment Bank mengekalkan saranan ‘neutral’ pada kaunter tersebut tetapi meningkatkan harga sasarannya kepada RM25.51 berbanding RM25.41 sebelum ini, selepas menaikkan unjurannya terhadap harga minyak sawit mentah (MSM) berikutan momentum kenaikan komoditi semasa.

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ dan harga sasaran sebanyak RM27.01 selepas firma berkenaan meneliti prospek KLK agak mencabar susulan peningkatan kes Covid-19 dan kenaikan harga isirung sawit dapat mengimbangi lonjakan harga MSM yang lebih tinggi.

Selain itu, Hong Leong Investment Bank juga mengekalkan saranan ‘beli’ tetapi menurunkan harga sasarannya kepada RM26.60 berbanding RM26.64 setelah mengemaskini parameter penilaiannya.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat