Konflik Uighur Masuk Episod Baharu

268

Beberapa negara Barat mengenakan sekatan terhadap para pegawai di China berikutan isu hak asasi manusia terhadap sebahagian besar komuniti Muslim Uighur di wilayah Xinjiang.

Sekatan itu meliputi larangan perjalanan dan pembekuan aset. Antaranya adalah pengarah Biro Keselamatan Awam Xinjiang, Chen Mingguo; ahli Parti Komunis Xinjiang, Wang Minshan; setiausaha Xinjiang Production and Construction Corps (XPCC), Wang Junzheng; bekas naib ketua Parti Komunis di Xinjiang, Zhu Hailun dan Biro Keselamatan Awam XPCC.

China menahan lebih sejuta masyarakat Uighur di barat laut Xinjiang dan didakwa telah menyeksa, melakukan buruh paksa dan penderaan seksual terhadap semua tahanan.

Beijing sering menafikan dakwaan berkenaan dan mendakwa kem-kem tahanan merupakan ‘kem pendidikan’ untuk menangani aktiviti keganasan.

Sekatan itu merupakan usaha bersama oleh Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

EU tidak mengenakan sekatan baharu terhadap China berhubung pelanggaran hak asasi manusia sejak insiden Dataran Tiananmen 1989. Pada insiden itu, tentera China melepaskan tembakan ke arah petunjuk perasaan pro-demokrasi.

Menurut Setiausaha Luar UK, Dominic Raab, China telah melanggar sebahagian besar hak asasi manusia.

Malahan, Raab turut menyifatkan penderaan terhadap Muslim Uighur di Xinjiang merupakan salah satu krisis kemanusiaan paling buruk ketika ini.

“Saya fikir adalah jelas dengan bertindak bersama rakan sekutu kami, melibatkan sejumlah 30 buah negara, kami menghantar mesej jelas kepada kerajaan China, bahawa komuniti antarabangsa tidak akan menutup sebelah mata terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan sistematik serta kami akan melakukan tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab,” kata Raab.

China bagaimanapun turut melakukan tindakan sama dengan menyekat para pegawai Eropah.

Ujar Beijing, seramai 10 orang pegawai dan empat entiti di Eropah akan ‘menjejaskan kedaulatan dan kepentingan China serta mendakwa negara-negara Barat telah menyebarkan maklumat palsu’.

Antara pegawai Eropah yang disekat adalah ahli politik Jerman yang mempengerusikan delegasi Parlimen Eropah ke China iaitu Reinhard Butifoker.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat