Korea Utara Putuskan Hubungan Dengan Malaysia

1,302

Korea Utara bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas berang dengan keputusan Mahkamah Persekutuan untuk mengekstradisi rakyat negara berkenaan ke Amerika Syarikat (AS) atas dakwaan pengubahan wang haram.

Mac lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengekstradisi rakyat Korea, Mun Chol-myong.

Chol-myong telah ditahan pada 2019 selepas AS mendakwa lelaki itu melakukan pengubahan wang haram menerusi syarikat samaran dan mengeluarkan dokumen palsu untuk membekalkan barangan terlarang ke Korea Utara.

Lelaki berkenaan membuat permohonan rayuan berhubung dakwaan terbabit atas alasan penahanannya mempunyai unsur politik namun ditolak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Korea Utara, tindakan Malaysia itu adalah satu bentuk jenayah berat yang sukar dimaafkan.

“Tindakan Malaysia telah menjejaskan keseluruhan asas hubungan dua hala berdasarkan penghormatan terhadap kedaulatan,” ujar kenyataan tersebut.

Korea Utara sering menjadikan Malaysia sebagai hub untuk operasi eksport senjatanya dan menubuhkan entiti perniagaannya untuk menyalurkan dana kepada kepimpinan Pyongyang.

Hubungan Malaysia dan Korea Utara mulai renggang selepas abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Februari 2017 oleh dua orang wanita.

Malaysia terpaksa menghentikan seketika operasi kedutaannya di Pyongyang selepas membawa pulang sembilan rakyat negara ini yang ‘dijadikan tebusan’ oleh Korea Utara sebagai pertukaran kepada mayat Jong-nam.

Kementerian Luar Malaysia bagaimanapun masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat