Krisis Coronavirus Ganggu Rantaian Bekalan Global – Ini Antara Pengeluar Yang Terjejas!

656

Kebanyakan kilang-kilang di China yang ditutup sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina dan penularan wabak coronavirus dilaporkan telah kembali beroperasi semula pada hari ini sementara angka kematian dan kes jangkitan terus mencatatkan peningkatan.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa firma yang perlu menangguhkan pengoperasian semula mereka disebabkan masih menghadapi risiko jangkitan coronavirus yang tinggi.

Kilang elektronik Foxconn yang merupakan pengilang terbesar bagi iPhone, terpaksa menangguhkan rancangannya untuk beroperasi semula pada hari ini selepas dihalang oleh pihak berkuasa China.

Wabak ini telah mengakibatkan gangguan besar terhadap rantaian bekalan dunia apabila kebanyakan bandar besar ditutup sehingga menjejaskan operasi kilang-kilang yang membekalkan peralatan utama kepada sektor pembuatan.

Selepas Hyundai, kini giliran Kia Motors pula menerima nasib yang sama kerana terpaksa menggantung pengeluaran di tiga buah kilang di Korea Selatan akibat kekurangan alat ganti kereta.

Sementara itu, pada Jumaat lalu Facebook memberi amaran bahawa terdapat kemungkinan wabak ini akan memberi kesan kepada pengeluaran alat Oculus Quest.

Di sisi lain, People Bank of China (PBOC) telah menyuntik 900 bilion yuan ke dalam pasaran kewangan melalui operasi perjanjian belian balik (reverse repurchase agreement) pada hari ini.

Dagangan awal minggu menyaksikan pasaran ekuiti di Asia terus lemah manakala matawang yuan China pula didagangkan meningkat berbanding US dolar.

Angka kematian akibat coronavirus kini dicatatkan melebihi jumlah korban yang disebabkan wabak SARS pada 2002/2003 dengan meragut nyawa 908 orang dan 40,171 kes disahkan, serta telah merebak ke 27 negara di seluruh dunia.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menghantar pasukan pakar antarabangsanya ke Beijing untuk membantu menyiasat mengenai wabak tersebut.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat