Krisis Tenaga UK Lebih Teruk Daripada Covid-19

255

Bil tenaga yang tinggi antara punca inflasi di UK masih tak turun-turun walaupun Bank of England (BOE) telah menaikkan kadar faedah sebanyak 6 kali.

Malah, had harga tahunan untuk tenaga di negara itu dijangka akan meningkat lagi pada bulan Oktober yang pastinya akan membebankan lagi rakyat UK dengan kos perlu ditanggung mencecah £3,000 (RM15,900) setahun.

Pelbagai usaha telah diambil kerajaan UK untuk melindungi isi rumah seperti pemotongan cukai, rebat bil tenaga dan pembayaran langsung. Namun sejak itu, harga gas asli dan tenaga terus mencatat peningkatan lebih tinggi menyebabkan rakyat kekal terbeban.

Penyelidik di Institut Kerajaan berkata kerajaan perlu membelanjakan tambahan £23 bilion untuk melindungi isi rumah daripada kira-kira 90% jangkaan kenaikan bil tenaga sehingga April 2023 dan menelan belanja £90 bilion lagi pada April 2024.

Ramalan itu sejajar dengan kos yang dicadangkan Scottish Power, salah satu syarikat tenaga terbesar di UK yang menggesa kerajaan untuk melindungi berjuta-juta isi rumah dengan membekukan bil mereka selama dua tahun.

Ia berkata kerajaan UK perlu mengehadkan bil tenaga pada £2,000 (RM10,600) dan memberi wang kepada pembekal untuk menampung kos gas dan elektrik yang jauh lebih tinggi.

Kos perbelanjaan yang dianggarkan sebanyak £100 bilion itu akan dibantu oleh peningkatan pinjaman kerajaan, dibiayai cukai am sepanjang dekad akan datang atau lebih.

Bagaimanapun, anggaran yang perlu ditanggung kerajaan ini ternyata lebih besar berbanding perbelanjaan negara itu untuk bantuan semasa pandemik Covid-19 yang menelan kos hampir £70 bilion melalui program subsidi gaji pekerja.

Setakat tahun ini, kerajaan telah menawarkan kira-kira £33 bilion sebagai sokongan kepada isi rumah untuk membantu kos tenaga dengan lebih banyak lagi bantuan dijangka akan dikeluarkan.

Tekanan daripada kos tenaga yang tinggi ini dilihat akan terus membebankan isi rumah UK untuk tempoh lebih lama dan kerajaan perlu mencari jalan untuk menanganinya dengan lebih efektif.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat