Kurang Pemangkin Pasaran, Bursa Malaysia Dibuka Rendah

131

Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan kekurangan pemangkin pasaran dengan sentimen terus dijejaskan oleh kegiatan pengambilan untung selepas bursa tempatan mengaut keuntungan baru-baru ini.

Prestasi lemah itu juga disebabkan kebimbangan pelabur mengenai kemunculan varian baharu virus di Eropah.

Pada pukul 9.07 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.97 mata kepada 1,640.92 selepas dibuka 1.09 mata lebih rendah pada 1,646.8 pagi ini.

Bernama melaporkan, di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 384 berbalas 154 manakala 319 kaunter tidak berubah, 1,280 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 470.75 juta unit bernilai RM224.84 juta.

Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee Shen Pin berkata, kegiatan pengambilan untung berterusan di FBM KLCI selepas mencatatkan keuntungan baru-baru ini dan mungkin memasuki fasa stabil menjelang cuti hujung tahun.

Sementra itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pasaran dikejutkan dengan berita mengenai varian baharu virus Covid-19 yang menyebabkan satu lagi sekatan pergerakan dikuatkuasakan di United Kingdom (UK) dan sentimen negatif ini mungkin ‘berjangkit’ ke pasaran tempatan.

Dalam pada itu, firma penyelidikan berkenaan turut menjangkakan FBM KLCI akan mengalami lantunan teknikal dengan paras sokongan 1,640 dan diikuti 1,620 sementara paras halangan sekitar 1,680-1,700.

Dalam kalangan saham berwajaran berat, Maybank turun 10 sen kepada RM8.38, Public Bank susut enam sen kepada RM20.60, Tenaga lebih rendah empat sen kepada RM10.64, Petronas Chemicals jatuh lapan sen kepada RM7.46, dan IHH Healthcare berkurangan satu sen kepada RM5.74.

Bagaimanapun, Top Glove dan Hartalega masing-masing meningkat tujuh sen dan lapan sen kepada RM6.69 dan RM12.58.

Kaunter-kaunter paling cergas pula, IRIS menambah dua sen kepada 41 sen, Fintec dan Vivocom masing-masing naik setengah sen kepada 10 sen dan RM1.03 sementara Key Alliance dan Techna-X, kedua-duanya kekal pada 5.5 sen dan 16.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 64.49 mata pada 11,784.33, Indeks FBMT 100 jatuh 63.31 mata kepada 11,550.86, Indeks FBM Emas Syariah menyusut 37.24 mata kepada 13,249.3, dan FBM 70 merosot 137,99 mata kepada 15,020.33.

Bagaimanapun, FBM ACE meningkat 43.88 mata kepada 10,522.33.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.4 mata kepada 173.56, Indeks Perladangan susut 9.17 mata kepada 7,349.02, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 126.78 mata kepada 15,256.8.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat