Laporan Pekerjaan NFP Bakal Catat Bacaan Terburuk Dalam Sejarah?

1,453

Ekonomi Amerika Syarikat berkemungkinan telah kehilangan sehingga 22 juta pekerjaan pada bulan April, iaitu merupakan kejatuhan paling ketara yang pernah direkodkan sejak Great Depression, membuktikan kesan pandemik coronavirus kepada ekonomi terbesar dunia.

Laporan pekerjaan NFP, data yang menjadi tumpuan utama pasaran setiap minggu pertama awal bulan dijangka akan menunjukkan bacaan terburuk dengan kadar pengangguran pula meningkat kepada 16%. Kali terakhir kadar pengangguran dalam dua digit adalah pada tahun 1983, sejurus selepas kemelesetan 1980-an.

Pada bulan April, data pekerjaan diramal akan mencatatkan kejatuhan ketara dalam pekerjaan dengan kehilangan sehingga 22 juta daripada 701,000 pekerjaan yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, ketika aktiviti ekonomi mula ditutup bagi membendung penularan COVID-19.

Data purata pendapatan bagi bulan April pula diunjur akan menunjukkan pertumbuhan yang stabil dengan peningkatan 0.5% daripada 0.4% pada bulan lalu, dan meningkat dari 3.1% kepada 3.3% secara tahunan.

Sebelum ini, pelabur telah disajikan dengan beberapa siri data dalam sektor ekonomi Amerika Syarikat, di mana masing-masing menunjukkan kemerosotan yang ketara, dan ini telah menguatkan lagi jangkaan untuk melihat bacaan lemah dalam NFP.

Aktiviti ekonomi dalam sektor pembuatan AS mencatat penguncupan pada bulan April dengan bacaan data PMI Pembuatan ISM menjunam kepada 41.5 daripada 49.1. Sementara sektor bukan pembuatan pula merosot kepada 41.8 daripada 52.5 pada bulan sebelumnya.

Dalam pada itu, jumlah pekerjaan sektor swasta AS mengalami kejatuhan drastik dengan kehilangan 20.23 juta pekerjaan pada bulan April, menjadikannya sebagai kemerosotan paling buruk dalam sejarah tinjauan sejak tahun 2002.

Sementara itu, jumlah tuntutan faedah pengangguran yang dibuat oleh warga Amerika setakat ini telah mencecah 33.5 juta dalam tempoh 7 minggu terakhir, mengikuti peningkatan 3.05 juta tuntutan pada minggu lalu.

Susulan daripada bacaan data ekonomi AS yang diterbitkan lemah, pelabur berkemungkinan telah bersedia dengan sebarang kemungkinan bahawa angka laporan NFP bakal menunjukkan bacaan yang paling buruk pernah direkodkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat