Lebih 100 Pips Pergerakan Harga Bagi Dagangan Kiwi Dalam Masa 10 Minit!

559

Dolar Amerika Syarikat sedikit melonjak dari paras terendah tiga bulan pada dagangan Rabu ekoran keraguan pelabur ke atas jangkaan penurunan kadar oleh Federal Reserve (Fed) pada bulan hadapan dengan menyifatkan tindakan tersebut agak agresif. Namun, pelabur masih yakin bahawa Fed akan melonggarkan polisi monetari dalam masa terdekat ini.

Pengerusi Fed, Jerome Powell pada Selasa menegaskan pendirian bank pusat terhadap Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mendesak untuk penurunan kadar secara agresif. Walaupun situasi ini telah mengurangkan jangkaan untuk separuh peratusan pemotongan kadar pada mesyuarat polisi Julai nanti, pelabur masih lagi menjangkakan pengurangan sekurang-kurangnya seperempat peratus lagi.

Donald Trump meluahkan pendapatnya yang menyatakan nilai matawang dolar Amerika (USD) terlalu tinggi sementara Euro pula terlalu lemah.

Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar Amerika Syarikat berbanding matawang utama yang lain berada di paras 96.176 pada Rabu, sedikit tinggi dari paras terendah tiga bulan yang dicecah pada Selasa.

Matawang safe-haven Yen pula diniagakan ke paras tertinggi berbanding dolar untuk tempoh lebih lima bulan dan dijangka akan meneruskan kenaikan lebih tinggi berikutan ketegangan geopolitik dan ketenteraan antara Amerika Syarikat dan Iran yang meningkatkan lagi permintaan terhadap matawang Jepun tersebut.

Namun, fokus pasaran pada minggu ini akan beralih pada pertemuan antara kedua Presiden dari Amerika Syarikat dan China iaitu Donald Trump dan Xi Jinping di persidangan kemuncak G20 penghujung minggu ni untuk meneruskan rundingan dagang. Pelabur masih melihat gambaran untuk rundingan mencapai kata sepakat adalah sangat sukar bagi kedua-dua ekonomi gergasi dunia itu.

Dagangan Pound Sterling melemah semalam berbanding USD selepas mencecah paras tertinggi dagangan bulanan didorong oleh risiko ‘no-deal’ Brexit susulan proses pemilihan pemimpin Parti Konservatif yang memberi tekanan terhadap matawang British itu.

Ketidaktentuan politik di Britain masih meletakkan GBP dalam kelompok dagangan yang berisiko selain faktor pendirian dovish bank pusat pada mesyuarat polisi minggu lalu terhadap prospek kadar faedah.

Sesi pasaran Asia hari ini diberi tumpuan pada matawang dolar New Zealand yang mempamerkan pergerakan volatile pada carta harga selepas pengumuman penetapan kadar faedah oleh bank pusat pada jam 10 pagi ini.

Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) untuk mesyuarat polisi monetari bulan Jun telah mengekalkan kadar faedah di paras 1.50% seperti yang telah dijangkakan oleh pasaran.

Dagangan pada carta harga NZD/USD menunjukkan penurunan sehingga ke paras 0.65000 sebelum kembali melonjak semula hampir mencecah ke paras 0.66600. Pergerakan turun naik harga tersebut mencatatkan lebih 100 pips pergerakan harga hanya dalam tempoh 10 minit sejurus keputusan penetapan kadar faedah dikeluarkan.

Para pemain pasaran akan meneliti kenyataan susulan bank pusat selepas penetapan kadar faedah ini dan mendapatkan isyarat bagi mesyuarat yang akan datang.

 

 

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat