Lebih Baik Dari Jangkaan, Kemerosotan Dalam Eksport Dan Import China Berkurangan

2,279

Penurunan dalam eksport dan import China pada bulan Mac merekodkan bacaan lebih baik selepas mengalami kejatuhan ketara pada dua bulan pertama 2020.

Jabatan Kastam China melaporkan eksport tahunan bagi bulan Mac telah merosot 6.6% kepada $185.15 bilion daripada kejatuhan 17.2% pada Januari dan Februari, serta lebih baik dari unjuran pasaran untuk penurunan sebanyak 14%.

Sementara bacaan import tahunan bagi bulan Mac pula menguncup -0.9% kepada $165.25 bilion daripada penurunan 4% pada Januari dan Februari, malah lebih baik dari jangkaan pasaran untuk kejatuhan sebanyak 9.5%.

Secara keseluruhan pada suku pertama tahun 2020, eksport China jatuh sebanyak 13.3%, manakala import pula merosot 2.9%.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan China mengatakan bahawa import dan eksport telah bertambah baik pada bulan Mac setelah mencatat kejatuhan ketara dalam dua bulan pertama tahun 2020. Namun, prospek terhadap eksport China kekal lemah disebabkan penularan COVID-19 yang semakin meluas di seluruh dunia telah menjejaskan permintaan global.

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada minggu lalu berkata, perdagangan global dijangka menurun sehingga 32% pada tahun 2020 disebabkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik coronavirus.

Dengan berakhirnya perintah berkurung yang menyebabkan penutupan operasi kebanyakan pengeluar China pada bulan Februari, mereka kini telah menyambung semula sekurang-kurangnya 70% keupayaan pengeluaran pada 30 Mac, menurut Kementerian Perdagangan.

Walau bagaimanapun, pengeluar China kini berdepan dengan masalah kekurangan permintaan dari negara luar terutamanya Amerika Syarikat dan Eropah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat