Lelaki Ini Bercita-cita Untuk Bekerja di Wall Street, Akhirnya Berjaya Tubuhkan Syarikat Hedge Fund!

736

John Paulson dilahirkan pada 1955 di Queens, New York dan merupakan anak ketiga daripada 4 orang adik-beradik. Beliau menghabiskan zaman kanak-kanaknya di sana, kemudian melanjutkan pengajiannya dalam bidang kewangan di New York University pada tahun 1978.

Setelah itu, beliau telah memperoleh ijazah sarjana dalam bidang perniagaan dari Harvard Business School. Selain itu, Paulson turut menerima ‘Baker Scholar’, iaitu anugerah yang diberikan untuk pelajar cemerlang.

Sebelum berjaya menempa nama, Paulson juga berhadapan dengan pelbagai cabaran. Pada tahun 70-an, beliau telah pergi ke Ecuador untuk menceburi bidang keusahawanan dan memutuskan untuk meninggalkan pengajiannya di kolej buat sementara waktu. Semasa berada di Quito, beliau telah menjalankan perniagaan pertamanya dengan mengeksport pakaian kanak-kanak ke beberapa buah kedai serbaneka di New York.

Malangnya, perniagaan tersebut tidak mendatangkan keuntungan lalu beliau kembali menyambung pengajiannya di kolej.

Selepas berjaya menamatkan pengajian, Paulson bekerja sebagai seorang perunding kewangan di Boston Consulting Group. Akan tetapi, beliau telah meninggalkan pekerjaan tersebut demi mengejar impiannya untuk bekerja di Wall Street.

Oleh itu, beliau menerima satu tawaran bekerja di Odyssey Investment Partners. Tidak lama kemudian, Paulson berpindah ke Bear Stearns dan berkhidmat sebagai pengarah urusan dalam jabatan penggabungan dan pengambilalihan. Di samping itu, beliau juga merupakan salah seorang rakan kongsi di Gruss Partners.

Berdasarkan pengalamannya, Paulson telah berjaya menubuhkan sebuah syarikat hedge fund yang dikenali sebagai Paulson & Co pada tahun 1994 dengan modal sebanyak $2 juta dan memiliki seorang pekerja. Pada peringkat kemuncaknya, syarikat tersebut telah memiliki sebanyak $38 bilion dana di bawah pengurusannya.

Selain itu, Paulson & Co ditubuhkan untuk menfokuskan kepada pengurusan risiko seperti penyusunan semula selepas muflis, kredit kecemasan dan kredit berstruktur.

Hakikatnya, John Paulson mula dikenali pada tahun 2007, ketika berlakunya krisis kewangan. Uniknya, Paulson & Co telah berjaya memperoleh keuntungan sebanyak $15 bilion pada ketika itu dan pendapatan Paulson dianggarkan sebanyak $3 hingga $4 bilion.

Kata pepatah ada menyebutkan bahawa air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Syarikat berkenaan juga berhadapan dengan konflik apabila dana Advantage Plus telah kerugian separuh daripada nilainya akibat daripada ekonomi Amerika Syarikat masih belum pulih pada tahun 2011.

Seterusnya, dana emasnya telah mengalami kerugian besar pada tahun 2012 lalu menyebabkan aset yang diuruskan menurun sebanyak $20 bilion. Namun begitu, kerugian yang dicatatkan tersebut tidak mematahkan semangat Paulson.

Pada Mac 2015, Paulson & Co memiliki $19.4 bilion aset di bawah pengurusannya dan mengupah seramai 125 orang pekerja di New York, London dan Hong Kong. Kini, syarikat berkenan mampu menguruskan $20 bilion dana sehari. Wah, hebat!

Kesimpulannya, jangan pernah takut untuk mengejar impian anda. Kegagalan merupakan lumrah dalam kehidupan tetapi kebangkitan anda selepas itu akan menjadikan anda orang yang luar biasa!

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat