Lima News Ekonomi Yang Memberi Impak Tinggi Kepada Pasaran Minggu Ini (10-14 Julai)

45

Komen dari bank pusat akan menjadi perhatian utama sekali lagi minggu ini khususnya selepas volatility (turun-naik) yang berlaku dalam pasaran dua minggu lalu. Pasaran akan mencari lebih bukti bagi menyokong komen hawkish yang dilontarkan oleh pihak bank pusat sebelum ini.

Pasaran akan terus memberi perhatian kepada komen pegawai-pegawai ECB dengan beberapa ahli bank pusat mempunyai pendirian yang berbeza.

Ucapan dari ahli The Fed juga akan diperhatikan khususnya Fed Brainard dan juga keterangan Janet Yellen di Kongres.

Selain itu, perkembangan politik di UK juga akan terus diteliti oleh pasaran khususnya pemain pasaran UK dengan perkembangan terbaru rundingan Brexit dan juga pendirian kerajaan UK terhadap rundingan tersebut. Sebarang ketidaktentuan sudah tentu akan menyebabkan volatility kepada Sterling.

1. Harga Pengguna Amerika Syarikat (Jumaat)

Data terbaru harga pengguna (CPI) US akan dikeluarkan pada Jumaat pukul 8.30 pm. Data ini penting untuk menyokong polisi Federal Reserve khususnya dengan data-data inflasi yang lemah sejak akhir-akhir ini.

Dalam minit mesyuarat yang dikeluarkan minggu lalu, walaupun ada perbezaan pendapat tentang perjalanan kenaikan kadar tetapi ahli-ahli masih menjangka kelemahan inflasi beberapa bulan lalu adalah sementara dan kadar tersebut akan meningkat dalam jangka masa sederhana.

Namun, jika data-data terus melemah dan meleset dari jangkaan, ia akan meningkatkan keraguan terhadap The Fed, khususnya selepas data pendapatan yang tidak menepati ramalan pasaran minggu lalu.

2. Penetapan Kadar Bank of Canada (Rabu)

Bank of Canada akan mengumumkan polisi monetari semasa pada Rabu 10 pm. Selain pengumuman kadar faedah, bank pusat juga akan mengeluarkan laporan terkini polisi monetari dan sidang media Gabenor Poloz.

Terdapat perubahan yang signifikan dalam pendirian bank pusat beberapa minggu lalu di mana pegawai-pegawai penting menunjukkan pandangan yang positif terhadap polisi monetari.

Gabenor Poloz juga berkata proses normalisasi perlu dimulakan sebelum inflasi mencapai sasaran.

Jika dilihat dengan pergerakan Dolar Kanada (Loonie) sejak beberapa minggu ini, kita pasti perasan pengukuhan loonie walaupun dengan kejatuhan harga minyak mentah dunia. Sebab itu, jangkaan polisi monetari ini begitu penting kepada matawang dan menyebabkan keuntungan kepada loonie sejak beberapa minggu lalu.

3. Ucapan Janet Yellen di Kongres (Rabu)

Pengerusi The Fed Janet Yellen akan memberi keterangan di hadapan Kongres pada Rabu 12 Julai dan Khamis 13 Julai. Testimoni ini adalah penting dengan beberapa isyarat telah diberikan kepada pasaran.

Impaknya dijangka terhad kerana testimoni bertulis tersebut akan dikeluarkan sebelum beliau berhadapan dengan Kongres. Walaubagaimanapun, pasaran akan meneliti komen tentang kadar faedah dan normalisasi polisi.

Fokus juga akan terarah kepada kesudian Yellen untuk berkhidmat bagi penggal kedua sebagai pengerusi bank pusat.

4. Data pasaran pekerjaan UK (Rabu)

Data pekerjaan UK ini termasuk, kadar pengangguran, claimant count (tuntutan pengangguran) dan juga data pendapatan pekerja. Bank of England dilihat akan meneliti data pekerjaan dengan bacaan pendapatan pekerja yang lemah walaupun permintaan buruh semakin baik.

Pendapatan yang masih sukar meningkat akan menyukarkan bank pusat menaikkan kadar faedah dalam jangka pendek walaupun inflasi telah melebihi sasaran.

Sebab itu, ekonomi UK ketika ini mengalami kesukaran dengan inflasi yang meningkat (overshoot) disebabkan Sterling yang melemah menyebabkan harga import semakin mahal dan menolak harga lebih mahal. Sebab itu pendapatan sukar untuk naik disebabkan harga-harga input yang mahal dan kenaikan inflasi bukanlah disebabkan faktor sebelah permintaan.

5. Data imbangan perdagangan China (Khamis)

Ekonomi China kurang menjadi perhatian dunia beberapa minggu lalu, dan Khamis ini data perdagangan negara ekonomi kedua terbesar dunia ini akan diteliti kerana ia juga adalah petunjuk ekonomi global yang penting.

Data perdagangan ini akan memperlihatkan keadaan semasa ekonomi China. Pengukuhan data dari China ini akan meningkatkan keyakinan dalam ekonomi global seterusnya menyokong komen hawkish yang dibuat oleh bank pusat dua minggu lalu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat