Lockdown Di Shanghai Jejaskan Eksport Dan Import China

645

Impak daripada wabak Covid-19 di China semakin terlihat ketara apabila eksport dan import mencatatkan pertumbuhan perlahan pada bulan April.

Menurut data kastam yang dikeluarkan pada Isnin, eksport China hanya berkembang sebanyak 3.9% berbanding peningkatan 14.7% yang direkodkan pada Mac. Ini merupakan kadar paling lemah yang pernah dicatatkan sejak Jun 2020.

Sementara import pula tidak berubah pada April selepas merosot 0.1% pada bulan sebelumnya dan juga lebih baik daripada jangkaan penurunan sebanyak 3%.

Penularan coronavirus dan polisi sifar Covid oleh kerajaan telah menjejaskan ekonomi China dan mengancam rantaian bekalan global.

Sebarang ancaman terhadap perdagangan menjadi kebimbangan kerana eksport telah menjadi salah satu pemacu terkuat untuk pertumbuhan di negara itu.

Angka yang dikeluarkan ini menunjukkan impak daripada sekatan Covid yang dilaksanakan di Shanghai, hub perdagangan dan pelabuhan terbesar dunia.

Pentadbiran Presiden Xi Jinping sebelum ini telah menjanjikan lebih banyak rangsangan untuk memenuhi sasaran pertumbuhan ekonomi kira-kira 5.5% pada tahun ini, tetapi tetap berkeras untuk mengekalkan polisi sifar Covid yang dilihat akan membantutkan usaha untuk mencapai matlamat mereka.

Dalam pada itu, permintaan global pula kekal berdaya tahan pada bulan lalu, membuktikan bahawa langkah China untuk meletakkan negara itu di bawah sekatan telah melemahkan ekonominya sendiri bukan permintaan luar.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat