Lotte Chemical Titan Catat Keuntungan Tertinggi Untuk Suku Pertama!

384

Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCTH) mencatatkan keuntungan bersih tertinggi untuk suku pertama yang berakhir 31 Mac 2021 sebanyak RM440 juta berbanding kerugian bersih RM170.06 juta pada suku pertama 2020.

Hasil LCTH meningkat sebanyak 62% tahun ke tahun kepada RM2.37 bilion berbanding RM1.46 bilion sebelumnya disebabkan peningkatan purata harga jualan produk dan kuantiti jualan, sejajar dengan pemulihan ekonomi global susulan pengumuman program vaksinasi Covid-19 di seluruh dunia.

“Gangguan operasi kilang di Amerika Syarikat (AS) dan Asia Tenggara ditambah dengan aktiviti pemulihan di Timur Tengah telah menjejaskan rantaian bekalan global.

“Kekurangan kontena telah mendorong sentimen permintaan apabila pembeli mengalami tempoh penghantaran lebih lama bagi penghantaran ke Asia Tenggara,” ujarnya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Di tengah-tengah keadaan luaran yang tidak menentu, LCTH berkata, syarikat berkenaan akan terus memantau dengan rapat perkembangan pandemik itu kerana industri petrokimia mempunyai perkaitan dengannya dan bergantung besar kepada pertumbuhan ekonomi serantau dan global serta corak penggunaan agregat.

“Justeru itu, kami menjangka perniagaan petrokimia terus tidak menentu bagi tempoh berbaki tahun ini.

“Bagaimanapun, syarikat akan terus mengekalkan daya tahan kewangannya yang kukuh dan mengoptimumkan operasinya untuk mengharungi persekitaran perniagaan yang mencabar,” ujarnya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Pada rehat tengah hari, saham LCTH susut sebanyak 2.75% kepada RM2.83.

LCTH mempunyai 2.27 bilion saham diterbitkan, berdasarkan laporan suku tahunan terbaharunya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat