Maklumat Peribadi Berjuta Penumpang Malindo Air Terdedah!

336

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malindo Air Chandran Rama Muthy mengesahkan bahawa berlaku pelanggaran data yang menyebabkan kebocoran dalam maklumat peribadi berjuta-juta penumpang syarikat penerbangan tambang rendah Indonesia, Lion Air dan anak syarikatnya, termasuk Malindo Air.

Syarikat itu telah melancarkan satu siasatan terhadap perkara tersebut dan telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Selasa, menurut laporan South China Morning Post.

Pihaknya juga sedang menghubungi pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa termasuk CyberSecurity Malaysia dan perunding jenayah siber bebas untuk memaklumkan dan menyiasat perkara tersebut.

Maklumat peribadi penumpang dilaporkan telah didedahkan secara dalam talian oleh ‘Specter’, yang menjalankan laman web gelap, menerbitkan pautan untuk memuat turun data yang bocor dan pangkalan data yang digodam berdasarkan laporan firma keselamatan siber berpangkalan di Moscow, Kaspersky Lab.

Antara maklumat yang didapati telah dibocorkan termasuk nama penuh, butiran pasport, alamat, tarikh lahir dan nombor telefon penumpang. Bagaimanapun, pihaknya enggan memberitahu lebih lanjut mengenai perkara tersebut termasuk jumlah pelanggan yang terjejas.

Malindo Air telah mengambil beberapa tindakan bagi memastikan data peribadi penumpang tidak terjejas, selari dengan Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia 2010 dan tidak menyimpan sebarang butiran pembayaran pelanggan dengan mematuhi Standard Keselamatan Data Industri Kad Pembayaran (PCI DSS).

Penumpang yang mempunyai akaun Malindo Miles dinasihatkan untuk menukar kata laluan mereka jika kata laluan yang sama telah digunakan untuk perkhidmatan lain dalam talian sebagai langkah keselamatan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat