Malaysia Jadi ‘Magnet’ Pelaburan Di Asia

2,111

Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan bagi pembuatan bernilai tinggi dan perkhidmatan global di Asia, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Negara ini kekal menjadi destinasi pelaburan dengan persekitaran yang menyokong termasuk prasarana yang baik, perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan kewangan dan perbankan, industri sokongan, tenaga kerja mahir dan boleh dilatih serta peluang pasaran yang ditawarkan menerusi 16 Perjanjian Perdagangan yang ia telah meterai.

MIDA berkata demikian sebagai menyangkal satu laporan akhbar harian Singapura berkaitan pelabur asing yang keluar dari Malaysia, dengan menegaskan bahawa perkara itu tidak benar.

“Laporan itu dengan secara salah menunjukkan bahawa laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCTAD) mengesahkan apa yang telah diperkatakan berdasaran pemerhatian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Ujar MIDA, syarikat itu telah mengenal pasti 240 projek pelaburan asing berprofil tinggi termasuk syarikat Fortune 500 dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan gabungan potensi nilai pelaburan sebanyak RM81.9 bilion.

“Ketika ini, MIDA juga menerima potensi pelaburan bernilai RM47.7 bilion ke dalam negara. Projek-projek ini, apabila diluluskan kelak, dijangka dilaksanakan pada tahun 2021 hingga 2022,” menurutnya dalam kenyataan berkenaan.

Memetik Jabatan Perangkaan Malaysia, MIDA berkata, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) kasar ke dalam negara bagi tempoh Januari hingga September 2020 bernilai RM108.2 bilion berbanding RM102.3 bilion dalam tempoh yang sama pada 2019, meningkat sebanyak 5.8%.

“Ini merupakan pencapaian yang cukup besar memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP) masing-masing pada suku kedua dan ketiga tahun lepas.
“Aliran masuk FDI kasar juga mencerminkan kadar tinggi projek FDI yang diluluskan dan dilaksanakan dalam ekonomi termasuk sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh beberapa tahun lepas,” jelas MIDA.

Tambah MIDA, jumlah FDI yang diluluskan dari 2018 hingga September 2020 bernilai RM206.02 bilion.

Pada tahun lalu, sembilan syarikat pembuatan milik asing sedia ada dengan jumlah pelaburan RM394.3 juta di Malaysia telah melaksanakan langkah-langkah rasionalisasi perniagaan.

“Syarikat-syarikat ini sama ada menutup perniagaan mereka di Malaysia atau memindahkannya ke negara lain disebabkan gangguan teknologi yang mengubah landskap perniagaan mereka dan mengalami pengurangan permintaan bagi produk mereka.

“Pelaburan ini merupakan sebahagian daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam ekonomi bagi tempoh dari Januari-September 2020,” katanya.

Sementara itu, menurut MIDA, Malaysia kekal sebagai pengeluar utama semikonduktor dan sensor bagi kereta di tengah-tengah laporan bahawa pelabur berpotensi dalam industri automotif menimbang membuka kilang pemasangan mereka di negara-negara jiran.

“Malaysia memiliki satu daripada ekosistem paling komprehensif di rantau ini dalam industri elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, aeroangkasa, automotif dan peralatan perubatan,” katanya.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat