Malboro Ubah Konsep Pengiklanan Dunia

273

Semua orang sedia maklum, rokok membahayakan kesihatan dan boleh menyebabkan penyakit kronik seperti kanser tetapi disebabkan ketagihan terhadap nikotin, sangat sukar bagi si perokok untuk berhenti merokok.

Pernah tak anda terfikir, bagaimana industri rokok ini mula mempengaruhi orang untuk tetap mencuba menghisap rokok meskipun kita tahu rokok adalah bahaya?

Sebelum tahun 1970-an, industri rokok merupakan ‘pakar’ dalam pengiklanan. Selepas Perang Dunia Kedua, syarikat pengeluar rokok menguasai bidang pengiklanan.

Mereka berlumba-lumba untuk memastikan orang ramai membeli produk keluaran mereka terlebih dahulu. Namun ketika itu, iklan Malboro adalah yang terbaik, sekali gus menjadikan Malboro sebagai jenama rokok yang paling terkenal di Amerika Syarikat (AS).

Sebelum itu, mari kita membaca sejarah awal penubuhan syarikat Malboro. Pada tahun 1847, Philip Morris menubuhkan syarikat berkenaan dan sasaran pelanggannya pada ketika itu tertumpu kepada golongan wanita.

Malboro telah mengeluarkan rokok yang mempunyai penapis khas bagi menutupi kesan gincu selepas menghisap rokok. Namun malangnya, strategi pemasaran itu tidak berjalan dengan begitu baik.

Pada tahun 1950-an, kajian baharu mengenai rokok boleh menyebabkan kanser telah dikeluarkan. Disebabkan itu, syarikat pengeluar tembakau mulai panik dan cuba mengubah strategi pengiklanan.

Malboro juga tidak terkecuali dan menukar sasaran pelanggannya kepada golongan lelaki selain mempromosikan rokok sebagai salah satu bentuk gaya hidup.

Apakah yang dimaksudkan pengiklanan sebagai gaya hidup ini? Hari ini, kita sering disajikan dengan bentuk pengiklanan yang mempromosikan produk mereka dan mengaitkannya dengan gaya hidup seharian.

Sebagai contoh, iklan minuman bertenaga, sering dikaitkan dengan aktiviti seharian para atlet sukan. Namun sekiranya kita memutar balik waktu sekitar 60 tahun lalu, masyarakat pada ketika itu mempunyai idea yang sangat berbeza dengan cara pengiklanan pada masa kini.

Kebanyakan manusia pada zaman itu tidak begitu ambil peduli mengenai fakta dan penyelidikan. Mereka lebih gemar membeli rokok untuk menampakkan diri sendiri bergaya.

Disebabkan itu, Malboro menjual produk mereka berdasarkan simbol serta perwatakan dan bukanlah hanya rokok semata-mata.

Dalam iklan berkenaan, Malboro menunjukkan seorang koboi yang sedang menghisap rokok sambil menunggang kuda sehinggakan lelaki koboi itu digelar sebagai Malboro Men. Iklan tersebut telah membuatkan ramai orang terpengaruh semata-mata kerana mereka melihat begitu maskulinnya koboi berkenaan ketika menghisap rokok.

Iklan terbabit telah melonjakkan nama Malboro di persada dunia sehingga ke hari ini. Selain itu, iklan terbabit telah merubah konsep pengiklanan seantero dunia.

Tuntasnya, kisah Malboro mengajar cara kita untuk memikat hati masyarakat dan memahami dari sudut hati yang manusia lebih tertarik tentang ‘perwatakan’ produk terbabit.

Penafian: Artikel ini tidak mempromosikan sebarang jenama rokok dan hanya perkongsian fakta daripada pihak Intraday kepada para pembaca.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat