Mangsa Skim Pelaburan BIA Rugi RM500,000!

608

Polis menerima 15 laporan berkaitan penipuan pelaburan berasaskan minyak dan gas dikenali sebagai Brunei Investment Agency (BIA) melibatkan kerugian bernilai lebih RM500,000 pada Sabtu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohamad Zainal Abdullah, sindiket berkenaan dikesan sejak Oktober tahun lalu sehingga awal bulan ini dengan kesemua pelabur atau mangsa menerima sebahagian keuntungan wang pelaburan mereka sebelum ditipu.

“Penipuan dikesan oleh mangsa pada 16 April lalu apabila ‘admin’ kumpulan WhatsApp yang diwujudkan telah gagal dihubungi dan tidak memberi maklum balas.

“Jumlah pelaburan yang dibuat oleh mangsa dianggarkan RM508,005,” katanya menerusi kenyataan seperti dilaporkan oleh Bernama.

Tambah beliau, mangsa ditawarkan pelaburan serendah RM120 dan tiada had maksimum serta maklumat berkaitan pelaburan berkenaan diberikan sindiket melalui laman sosial Facebook dan kumpulan WhatsApp.

Jelasnya, sindiket terbabit menawarkan pakej pelaburan jangka pendek yang menjanjikan pulangan dalam tempoh 7 hingga 40 hari serta pakej jangka panjang dalam tempoh 2 bulan hingga 4 bulan dengan pulangan 200%.

“Satu kertas siasatan sudah dibuka berhubung kes untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan dan suspek yang terlibat masih dikesan,” katanya.

Mohamad Zainal menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan sebarang pelaburan yang ditawarkan menerusi laman sosial dan membuat semakan sewajarnya berkenaan latar belakang syarikat supaya tidak menjadi mangsa.

Sebarang maklumat berkaitan penipuan pelaburan terbabit boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Dang Wangi Kuala Lumpur di talian 03-2600222 atau talian bebas Polis Kuala Lumpur di nombor 03-21159999.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat