Media Prima Terus ‘Bergembira’

268

Saham Media Prima Bhd melonjak sebanyak 14% atau 2.5 sen kepada 20.5 sen pada sesi dagangan awal hari ini berbanding 18 sen ketika sesi ditutup semalam selepas mengaut keuntungan bersih sebanyak RM12.43 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2020 (3QFY20).

Pada pukul 10.05 pagi, saham Media Prima meningkat kepada 19.5 sen, masih meningkat 1.5 sen atau 8.33%. Kaunter syarikat itu menyaksikan 27.1 juta saham bertukar tangan, menjadikannya antara saham paling aktif didagangkan pagi ini.

AmInvestment Bank Research dalam nota hari ini mengemaskini saranan kepada ‘buy’ daripada ‘hold’ selepas percaya Media Prima akan menerima kesan baik daripada pelan transformasi Odyssey yang dijalankan sejak 2016 untuk mengembangkan pendapatan dari segi perdagangan dan digital.

Firma itu juga telah menaikkan harga sasaran Media Prima kepada 25 sen berbanding 22 sen sebelum ini susulan harga kepada nilai buku syarikat itu meningkat 0.5 kali ganda selepas mengambil kira nilai buku per saham 50 sen pada 3QFY20.

Media Prima mencatatkan hasil selepas mengaut keuntungan bersih sebanyak RM12.43 juta pada 3QFY20 berbanding kerugian bersih berjumlah RM24.16 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Lapor Bernama, pendapatan syarikat berkenaan meningkat kepada RM268.76 juta daripada RM265.54 juta yang dicatat pada 3QFY19, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Media Prima berkata, pendapatan kumpulan itu merekodkan pertumbuhan marginal berikutan penyambungan semula aktiviti ekonomi secara beransur-ansur di Malaysia selepas kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kumpulan tersebut mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM11.78 juta pada 3QFY20 berbanding kerugian selepas cukai berjumlah RM25.56 juta dalam 3QFY19 disebabkan hasil yang lebih baik termasuk perbelanjaan operasi yang lebih rendah sebanyak RM224.9 juta berbanding RM239.9 juta yang direkodkan semasa 3QFY19.

“Keuntungan selepas cukai kumpulan juga merangkumi pengecualian ke atas pembayaran pajakan dan rebat ke atas yuran lesen berjumlah RM9.7 juta,” katanya sambil menambah segmen media digital dan membeli-belah di rumah dengan penonton yang lebih tinggi menyumbang kepada peningkatan pendapatan.

Dari segi prospek, Media Prima kekal komited untuk melaksanakan strateginya dalam menawarkan penyelesaian pengiklanan bersepadu kerana ia telah menyaksikan pertambahan permintaan dalam pengiklanan digital serta kandungan pengiklan.

“Prestasi yang kukuh daripada perniagaan perdagangan kami telah memberi peluang untuk meningkatkan lagi pengalaman membeli-belah di rumah melalui program istimewa kami dan platform e-dagang serta perdagangan mudah alih yang dipertingkatkan,” katanya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat