Menepati Ramalan, RBA Turunkan Kadar Faedah Ke Paras Terendah 0.50%

369

Menepati ramalan pasaran, bank pusat Australia akhirnya menurunkan kadar faedah ke paras terendah terbaru untuk mesyuarat dasar monetari kedua tahun ini.

Reserve Bank of Australia (RBA) umumkan kadar faedah diturunkan 25 mata asas dari 0.75% kepada 0.50%, iaitu paras terendah terbaru yang pernah dicatatkan.

Ahli jawatankuasa mesyuarat bersetuju tindakan penurunan kadar ini adalah bagi menyokong ekonomi yang terjejas akibat penularan wabak Coronavirus di peringkat global.

Seperti sebelum ini, bank pusat telah pun menyatakan kesediaan untuk pelonggaran polisi lebih lanjut jika diperlukan untuk menyokong kestabilan pertumbuhan. Risiko Coronavirus telah menjejaskan prospek ekonomi global jangka masa pendek.

Ancaman Coronavirus dijangka akan memperlahankan pasaran pekerjaan serta inflasi namun masih awal untuk menilai kesan virus tersebut dan bank pusat yakin bahawa ekonomi akan kembali ke landasan yang baik semula.

RBA menyatakan pasaran kewangan Australia masih beroperasi dengan efektif dan akan memastikan kecairan yang terkawal dan mencukupi.

Pertumbuhan gaji walau bagaimanapun masih kekal lemah dan dijangka akan berterusan dalam masa terdekat ini dan bank pusat juga akan terus memantau perkembangan pasaran buruh di Australia.

Ekoran wabak Coronavirus, sektor pendidikan dan pelancongan antara yang menunjukkan kesan kemerosotan yang ketara. Pertumbuhan GDP Australia buat suku pertama 2020 yang berakhir Mac dijangka akan mencatatkan bacaan yang lemah.

RBA yakin setelah wabak Coronavirus berjaya ditangani, ekonomi Australia dijangka akan kembali pulih dengan kadar yang memberangsangkan.

Kerajaan Australia juga telah menyatakan kerjasama akan diberikan untuk membaikpulih sektor ekonomi yang terjejas akibat Coronavirus COVID-19 tersebut.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat