Mengapa Banyak Mata Wang Di Dunia?

516

Mata wang merupakan instrumen penting dalam mengukur nilai sesuatu barangan tetapi setiap negara di dunia mempunyai mata wang dan nilai yang berbeza-beza.

Faktor yang menyebabkan perkara itu berlaku adalah terdapat banyak negara di dunia dan setiap negara mempunyai ciri-ciri yang berbeza.

Perbezaan pertama adalah kekayaan hasil sumber bumi. Sebagai contoh, ada negara yang kaya dengan telaga minyak dan terdapat negara menjumpai lombong emas, perak, bijih timah dan sebagainya.

Maka, negara-negara ini akan mempelopori sektor perlombongan dan menjana keuntungan melalui komoditi.

Komoditi bukan sahaja merangkumi batu-batu atau besi-besi berharga. Banyak lagi sumber komoditi lain yang menjadi permintaan tinggi di dunia.

Contohnya, sumber makanan. Haiwan ternakan atau tanaman tertentu hanya sesuai untuk hidup di sesetengah negara berdasarkan perbezaan iklim serta tanahnya.

Di Malaysia, sumber eksport utama adalah minyak kelapa sawit. Permintaan yang tinggi terhadap komoditi ini akan membuatkan nilai mata wang sesebuah negara itu melonjak. Disebabkan sumber bumi yang berbeza, maka nilai mata wang juga akan berbeza-beza.

Namun faktor yang lebih penting adalah keupayaan sesebuah negara itu menguruskan ekonominya.

Bagaimana kita hendak mengetahui sama ada ekonomi sesebuah negara itu adalah dalam keadaan yang baik? Adakah dengan melihat berapa ramai populasi penduduk negara itu? Atau melihat negara mana yang banyak membina bangunan pencakar langit?

Jawapannya adalah melalui data ekonomi semasa. Contohnya data utama seperti kadar inflasi, pendapatan negara, pekerjaan dalam negara, pengangguran dan sebagainya.

Apabila data-data ekonomi merekodkan bacaan yang baik, maka akan mendorong bank pusat sesebuah negara untuk menaikkan kadar faedah.

Sekiranya kadar faedah dinaikkan, lebih ramai pelabur akan melabur disebabkan jaminan pulangan yang tinggi. Apabila ramai yang melabur, permintaan terhadap mata wang negara itu juga meningkat, sekali gus melonjakkan nilai mata wang negara berkenaan.

Tetapi ada juga negara yang tidak mahu mata wang mereka tinggi kerana ingin mengekalkan tarikan eksport ke negara tersebut supaya negara-negara lain akan terus membeli barangan dari negara itu. Sebagai contohnya Jepun. Amalan Jepun itu menyebabkan kadar faedah di negara terbabit rendah.

Secara tuntasnya, apabila ekonomi berjaya dijana dengan baik, maka nilai mata wang negara tersebut akan turut meningkat. Kegagalan sesebuah negara menguruskan ekonomi akan menyebabkan nilai mata wang negara itu menjadi lemah.

Maka sebab itulah nilai mata wang di dunia mempunyai nilai yang berbeza-beza.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat