Mengapa F1 Malaysia Tamat Lebih Awal?

383

Acara perlumbaan Formula Satu (F1) di Malaysia yang merupakan buah fikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad ditamatkan pada 2017 selepas 19 tahun penganjurannya di negara ini.

Keadaan cuaca di Malaysia dan reka bentuk Litar Sepang yang mencabar menjadi salah satu tarikan kepada pelumba serta peminat F1 di seluruh dunia.

Sewaktu perlumbaan pertama di Litar Sepang diadakan pada 1999, peminat F1 di seluruh dunia bertuah dapat menyaksikan momen bersejarah apabila pelumba Scuderia Ferrari ketika itu, Michael Schumacher membuat kemunculan semula selepas mengalami patah kaki akibat kemalangan sewaktu Grand Prix Britain beberapa bulan sebelum itu.

Rakan sepasukan Schumacher, Eddie Irvine muncul juara pada edisi sulung acara F1 di Litar Sepang manakala Schumacher menduduki tempat kedua.

Kontrak Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) dan F1 sepatutnya tamat pada 2018 tetapi kerajaan Malaysia bertindak menamatkan kontrak pada 2017 atas faktor ekonomi.

Antara sebab utama kerajaan Malaysia bertindak sedemikian adalah penjualan tiket yang kurang memberangsangkan. Harga tiket Grandstand mencecah RM2000 manakala harga bagi kanak-kanak dalam lingkungan RM600.

Kalau hendak dibandingkan dengan negara lain seperti Singapura, harga tiket di negara itu mencecah RM4000. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia masih tidak mampu untuk membeli tiket F1 yang berharga RM2000.

Perlumbaan F1 di Malaysia pada 1999 merupakan perlumbaan pertama di Asia yang diadakan di luar Jepun. Namun pada 2008, Grand Prix Singapura dengan pantas menjadi salah satu perlumbaan F1 terbesar di Asia berikutan kedudukan litarnya yang berada di tengah bandar dan diadakan pada waktu malam.

Faktor itu membuatkan ramai peminat tertarik untuk menyaksikan perlumbaan F1 di Singapura.

Kerajaan Malaysia terpaksa membelanjakan kira-kira AS$67 juta ketika menganjurkan satu acara perlumbaan F1. Malangnya, pulangan pendapatan yang diperoleh adalah tidak berbaloi.

Pada 2016, hanya 45,000 orang penonton yang sahaja yang hadir menyaksikan perlumbaan di Litar Sepang. Nampak seperti banyak tetapi jumlah itu hanyalah separuh daripada kapasiti sebenar yang boleh ditampung oleh Litar Sepang pada satu-satu masa iaitu seramai. 120,000 orang.

Pada 2017, penjualan tiket mula meningkat sebanyak 65% selepas pihak SIC menurunkan harga tiket sebanyak 85% dan waktu itu juga merupakan perlumbaan terakhir di Malaysia.

Rakyat Malaysia sendiri juga sudah semakin kurang menggemari untuk menonton F1 kerana kerancakan dan persaingan dalam sukan berkenaan tidak menaikkan adrenalin lagi seperti zaman perseteruan Schumacher-Mika Hakkinen dari pasukan McLaren.

Dahulu Malaysia pernah melahirkan seorang pelumba F1 iaitu Alex Yoong yang berlumba untuk pasukan Minardi pada musim 2001 dan 2002. Bagaimanapun kariernya dalam F1 tidak lama dan beliau melibatkan diri dalam acara permotoran yang lain selepas itu.

Rakyat Malaysia kini lebih menggemari perlumbaan MotoGP disebabkan harga tiketnya yang lebih murah dan persaingan dalam MotoGP dilihat lebih sengit terutamanya pelumba-pelumba dunia seperti Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan Dani Pedrosa masih bersaing.

Selain itu, faktor kemunculan pelumba dari Malaysia beberapa tahun lalu iaitu Hafizh Syahrin dilihat menarik minat rakyat Malaysia untuk menonton perlumbaan MotoGP.

Pada 2018, Tun Dr. Mahathir pernah meluahkan hasrat untuk membawa kembali F1 ke Malaysia dan bercadang untuk mengadakn perlumbaan pada waktu malam.

Bagaimanapun, hasratnya itu masih belum ‘nampak bayangnya’ selepas beliau meletakkan jawatan awal tahun ini. Adakah F1 akan dibawa semula ke Malaysia oleh pemimpin baharu negara ini? Sama-sama kita nantikan.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat