Microsoft Kini Bernilai AS$2 Trilion!

431

Microsoft dilaporkan menjadi syarikat yang bernilai lebih daripada AS$2 trilion.

Syarikat pembangun perisian itu mencapai paras berkenaan pada 22 Jun lalu sebelum sahamnya susut dan kembali melepasi paras AS$2 trilion pada akhir sesi dagangan semalam.

Kejayaan itu disusuli dengan pelancaran Windows 11 oleh Microsoft semalam dan merupakan versi baharu sistem operasinya selepas pengenalan Windows 10 pada lebih 5 tahun lalu.

Nilai Microsoft meningkat sebanyak dua kali ganda, didorong oleh permintaan untuk produk seperti aplikasi Teams yang membolehkan pelbagai organisasi berfungsi ketika pandemik Covid-19.

Saham Microsoft telah melonjak lebih 600% semenjak Satya Nadella menggantikan Steve Balmer sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pada 2014.

Ketika era kepimpinan Ballmer selama 14 tahun, saham Microsoft susut sebanyak 32%.

Salah satu langkah pertama Nadella adalah mendedahkan bahawa aplikasi Microsoft Office seperti Word dan Excel akan hadir di peranti iOS serta Android. Sebelum itu, aplikasi terbabit hanya boleh digunakan oleh telefon pintar yang menggunakan perisian Windows.

Setahun selepas itu, Nadella mengumumkan kemaskini percuma untuk Windows 10, tidak seperti Windows 7 dan Windows 8.

Nadella telah bekerja di bahagian yang melibatkan perisian Azure sebelum mengambil peranan sebagai CEO.

Sepanjang beliau menjadi CEO, Nadella telah melakukan penampilan di khalayak ramai dan bercakap mengenai penggunaan Azure kepada firma-firma terkemuka seperti Persatuan Bola Keranjang Antarabangsa (NBA), Volkswagen dan Walgreens.

Azure berada pada landasan untuk menjadi bisnes terbesar Microsoft.

Microsoft di bawah pimpinan Nadella lebih terbuka dan tidak kisah untuk bekerjasama dengan pesaingnya. Syarikat itu telah menjalinkan kerjasama dengan pesaing seperti Red Hat dan Salesforce selain menambah sistem operasi Linux ke dalam Windows.

Semalam, Microsoft mengumumkan Windows 11 akan menyokong aplikasi yang menjalankan sistem operasi Android milik Google.

Menurut pelabur, Ben Horowitz, Microsoft pada hari ini adalah sebuah syarikat besar untuk syarikat ‘start-up’ menjalinkan kerjasama, berbanding melihatnya sebagai entiti yang perlu ditakuti.

Microsoft di bawah pimpinan Nadella telah membelanjakan lebih daripada AS$45 bilion untuk mengambil alih firma-firma seperti LinkedIn; pembangun permainan video iaitu Mojang dan Zenimax serta perkhidmatan penyimpanan kod, GitHub.

Pada April lalu, Microsoft bersetuju mengambil alih syarikat ‘speech-recognition’ iaitu Nuance pada nilai AS$19.7 bilion, termasuklah ekuiti dan hutang.

Selain Microsoft, Apple juga merupakan syarikat yang bernilai AS$2 trilion.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat