Minit Mesyuarat FOMC Beri Gambaran Negatif Terhadap USD

774

Matawang dollar USD berada dalam tekanan pada awal dagangan Khamis berikutan jangkaan yang kuat bahawa Federal Reserve (FED) bakal menghentikan sementara kitaran kenaikan kadar untuk tahun ini. Minit daripada FED untuk mesyuarat pada 18-19 Disember lalu mendedahkan beberapa penggubal undang-undang tidak menyokong keputusan untuk menaikkan kadar faedah sebaliknya lebih memilih untuk bank pusat mengekalkan kadar faedah untuk tahun ini dengan pergerakan ekonomi juga turut dilihat bergerak pada kadar yang perlahan. Dengan kenyataan bernada dovish daripada FED, penganalisis pasaran melihat gambaran bahawa matawang USD bakal bergerak lemah untuk tahun 2019.

Selain itu, perkembangan pada rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China dilihat optimis sekaligus telah mengurangkan permintaan pasaran terhadap aset safe-haven di mana selera pelabur mula terarah pada aset berpulangan tinggi. Kenaikan pada harga minyak mentah dalam pasaran turut memberi isyarat bahawa kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi global sebelum ini semakin reda.

Selain daripada kenaikan harga minyak mentah, matawang komoditi dollar CAD terus didagangkan positif dalam pasaran semasa selepas pengumuman kadar faedah semalam. Seperti jangkaan, Bank of Canada (BoC) telah mengekalkan kadar faedah di paras 1.75% seperti sebelum ini. Susulan daripada pengumuman kadar faedah tersebut, walaupun kadar faedah dikekalkan namun kenyataan bank pusat yang bernada hawkish daripada jangkaan pasaran meningkatkan lagi keyakinan pelabur terhadap dagangan Loonie buat masa ini.

Matawang dollar AUD pula bakal menerima kesan yang positif daripada rundingan dagang antara AS-China yang dilihat optimis oleh pelabur dengan sentimen pasaran yang menyokong permintaan terhadap Aussie. Namun, Aussie bakal terkesan pada awal dagangan Asia hari ini berikutan data indeks harga pengguna serta indeks harga pengeluar di China yang dikeluarkan pada jam 9.30 pagi tadi menunjukkan penurunan pada angka bacaan.

Beralih pada perkembangan di zon Eropah, matawang EURO kembali didagangkan mengukuh terutamanya berbanding USD di mana sebelum ini terkesan dengan kemerosotan pada data ekonomi di Jerman dan Perancis. Sementara, perkembangan di Britain pula masih melihatkan matawang Sterling didagangkan berisiko ekoran kebimbangan pelabur terhadap isu Brexit. Peluang untuk Perdana Menteri Britain Theresa May mendapatkan kelulusan Parlimen dilihat tipis dan menguatkan lagi risiko Britain bakal meninggalkan Kesatuan Eropah tanpa sebarang perjanjian.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat