Minit Mesyuarat RBA – Bank Pusat Sedia Untuk Pelonggaran Dasar Jika Diperlukan

232

Sesi pasaran Asia hari ini dihiasi dengan penerbitan laporan minit mesyuarat Reserve Bank of Australia (RBA) yang kemudiannya disusuli oleh penurunan dalam dagangan matawang dolar Aussie berbanding beberapa matawang utama.

Pada awal Februari, RBA telah mengekalkan kadar faedahnya pada 0.75% dan memberi kenyataan lebih hawkish daripada yang dijangkakan oleh pasaran dengan menyatakan kadar faedah akan kekal di paras semasa buat masa terdekat.

Bagaimanapun, hal ini berbeza pula dengan laporan minit mesyuarat yang menunjukkan ahli RBA menekankan bahawa masih terdapat risiko global terhadap ekonomi Australia walaupun perjanjian perdagangan AS-China telah tercapai.

Berdasarkan minit mesyuarat yang diterbitkan, ahli RBA dilihat turut mempertimbangkan untuk pemotongan kadar faedah pada Februari, tetapi memutuskan untuk mengekalkannya kerana berpendapat pelonggaran tambahan boleh menggalakkan peningkatan pinjaman disebabkan kenaikan harga dalam pasaran perumahan.

Ahli mesyuarat juga bersetuju dengan mengekalkan kadar faedah semasa akan membantu Australia mencapai sasaran pekerjaan penuh dan inflasi.

Penurunan kadar pengangguran kepada 5.1% pada Disember lalu dan beberapa data ekonomi semasa yang memberangsangkan, dikatakan telah membantu bank pusat untuk membuat keputusan dalam mesyuarat baru-baru ini.

Sementara itu, kesan daripada kebakaran hutan di Australia dan penularan wabak coronavirus juga dilihat akan menjejaskan prospek pertumbuhan negara itu.

Rentetan daripada penularan coronavirus yang saban hari mencatat peningkatan kes jangkitan dan angka kematian, ahli RBA berpandangan bahawa ia merupakan ketidakpastian baru terhadap ekonomi global.

Namun begitu, ia masih terlalu awal untuk menentukan impak wabak itu kepada ekonomi Australia.

Bank pusat dikatakan akan terus memantau dengan lebih dekat mengenai perkembangan semasa dengan teliti, termasuk pasaran buruh dan sentiasa bersedia untuk pelonggaran dasar jika diperlukan.

Secara keseluruhannya, RBA kekal yakin terhadap ekonomi Australia dengan menyatakan dasar monetari yang akomodatif, peningkatan sektor perlombongan dan pelaburan infrastruktur serta pemulihan dalam pasaran perumahan akan membantu pertumbuhan menjelang beberapa tahun akan datang.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat