Minuman Ini Pernah Diharamkan

422

Mesti dalam kalangan pembaca Intraday ada yang gemar minum kopi bukan? Namun adakah anda tahu kopi pernah difatwakan haram dalam Islam?

Kopi antara ‘dadah’ yang paling meluas digunakan di seluruh dunia. Dianggarkan sebanyak 2.25 bilion cawan kopi diminum setiap hari.

Bagaimana manusia boleh menemukan kopi ini? Mari kita imbas kembali sejarah penemuan kopi.

Penemuan kopi ini didakwa bermula dari negara Ethiopia. Ada kisah mengenai seorang pengembala kambing di negara berkenaan yang melihat kambing peliharaannya menunjukkan reaksi aktif dan sukar untuk tidur selepas makan biji kopi.

Melihat pada ‘kejadian’ itu, pengembala tersebut pun mencuba makan biji kopi dan terbukti, memang membuatkan dirinya bertenaga.

Bagaimanapun kesahihan kisah terbabit tidak dapat dibuktikan.

Kopi ini kemudiannya dipopularkan oleh golongan Arab terutamanya kaum Sufi di Yemen. Mereka amat menggemari minum kopi kerana tidak rasa mengantuk dan lebih khusyuk apabila melakukan ibadah.

Selepas itu, kopi mula tersebar ke Mekah pada lewat abad ke-15. Di situ, kopi mendapat sambutan yang baik sehingga wujudnya pelbagai kedai kopi.

Pada tahun 1511, gabenor Mekah ketika itu telah mengeluarkan fatwa mengharamkan minum kopi kerana mendakwa kopi akan memberi kesan buruk seperti arak.

Minum kopi akan memberikan kesan kepada otak dan membuatkan manusia bergantung kepada kopi setiap hari, sekali gus menjejaskan kesihatan tubuh badan.

Pengharaman kopi tidak berlaku di Mekah sahaja tetapi berlaku di tempat lain juga. Pada tahun 1517, pemerintah Khalifah Uthmanniyah yang pertama iaitu Sultan Salim pernah menjatuhkan hukuman kepada sesiapa yang didapati minum kopi di Mesir.

Pada tahun 1524, pengharaman kopi ini ditarik balik oleh Sultan Suleiman selepas beliau mengatakan kopi ini halal untuk diminum. Kajian yang dilakukan oleh beliau menunjukkan kopi ini berkhasiat dan memberi kesegaran kepada badan ketika beribadah walaupun ramai ulama membantah keputusan Sultan Suleiman.

Hal tersebut menyebabkan industri kopi dalam tamadun Islam mula berkembang dan tersebar sampai ke Eropah pada abad ke-17.

Selain Islam, agama Kristian juga pernah menganggap kopi ini sebagai minuman syaitan. Pada tahun 1600, penganut ajaran Paus Klemens ke-8 di Rom telah mengeluarkan larangan minum kopi bagi golongan Kristian.

Namun pengharaman itu hanya bersifat sementara. Selepas pengharaman itu ditarik balik, kopi kembali menjadi minuman kegemaran masyarakat Rom.

Selepas kemerosotan tamadun Islam, orang Eropah berjaya mendominasi tanaman dan pengeluaran kopi di seluruh dunia sehingga ke hari ini.

 

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat