MonSpace Didakwa Anjur Skim Piramid, Tiga Pengarah Didakwa

2,027

Sebelum ini pada Julai tahun 2018, tular video syarikat Monspace telah diserbu KPDNHEP disyaki terbabit dalam skim piramid.

Terkini, bersumber dari BERNAMA, pengarah syarikat pelaburan termasuk seorang wanita bergelar Datuk Seri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan berasingan terlibat dengan skim piramid serta menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen.

Menurut Berita Harian pada hari ini, tertuduh bernama Datuk Seri Lai Chai Shuang, 49; Wong Tat Foong, 40, dan Chai Ling Mooi, 48.

Mereka semua ialah pengarah Syarikat Monspacemall Sdn Bhd. Mereka membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, Lai selaku pengarah syarikat itu didakwa telah menyebabkan Skim Piramid dipromosikan iaitu Skim Monspace yang didakwa mengikut Seksyen 27B, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27B(2)(b) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM500,000 dan tidak lebih RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

KETIGA-tiga tertuduh iaitu, Lai Chai Shuang (dua dari kanan), Chai Ling Mooi (dua dari kiri) dan Wong Tat Foong (tengah belakang) dibawa ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mempromosi dan menjalankan perniagaan tanpa lesen sah Skim Piramid tahun lalu di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE/FARID JANUDIN

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh atas jawatan sama didakwa telah menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa memegang suatu lesen yang sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Jualan Langsung di bawah Seksyen 6 Akta Juala Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(2)(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dua lagi pengarah syarikat tersebut iaitu Wong dan Chai masing-masing didakwa menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen yang sah dan mempromosi skim piramid mengikut seksyen sama.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di dua buah premis di Jalan Jalil 1, Bumi Bukit Jalil, Lebuhraya Sungai Besi – Puchong, di sini antara 14 Jun hingga 19 Julai 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Chiew King menawarkan ikat jamin RM1 juta terhadap Lai, RM50,000 kepada Wong dan RM500,000 terhadap Chai selain syarat tambahan supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah.

Ketiga-tiga tertuduh yang diwakili peguam Andy Yong Kim Seng memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan ketiga-tiga tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

“Kesemua anak guam saya juga turut memberikan kerjasama yang baik terhadap pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.

Hakim Manira membenarkan Lai diikat jamin RM400,000, Wong RM20,000 dan Chai RM200,000 serta memerintahkan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 14 Jun untuk sebutan semula kes.

Sumber : Bernama, Berita Harian dan Utusan Online.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat