Moody’s : Beban Hutang Malaysia Pada Kadar 50.8% Berbanding KDNK

1,435

Moody’s Investors Service sebuah agensi penarafan antarabangsa mengekalkan anggaran beban hutang langsung kerajaan Malaysia pada kadar 50.8 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2017.

Berita Harian juga melaporkan bahawa Moody’s berkata penilaian terhadap risiko liabiliti luar jangka yang ditimbulkan oleh institusi awam sektor bukan kewangan juga tidak berubah meskipun terdapat beberapa kenyataan yang dibuat oleh pentadbiran kerajaan persekutuan Pakatan Harapan.

“Bagaimanapun, tindakan kerajaan baru mengkaji semula projek infrastruktur berskala besar yang mendapat manfaat daripada pinjaman dijamin kerajaan terdahulu dan hutang tertunggak daripada dana kerajaan, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), akan memainkan peranan penting dalam menentukan risiko yang timbul dari liabiliti luar jangka kepada profil kredit,” kata agensi itu.

Moody’s berkata, langkah fiskal adalah antara bidang tumpuan ketika ini memandangkan beban hutang negara yang tinggi mencetuskan kekangan kredit.

“Oleh itu, sejauh mana kerajaan baharu mampu mencapai konsolidasi defisit fiskal akan menjadi kayu pengukur dalam menentukan metrik fiskal dan profail kredit Malaysia,” katanya.

Mengulas mengenai kesan pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) baru-baru ini, Moody’s berkata, dengan ketiadaan langkah fiskal pampasan yang berkesan, tindakan ini adalah negatif kepada kredit Malaysia kerana ia akan meningkatkan kebergantungan kerajaan terhadap pendapatan berkaitan minyak, selain daripada asas cukai yang mengecil.

Moody’s menganggarkan hasil yang hilang susulan tindakan pemansuhan GST sekitar 1.1 peratus daripada KDNK tahun ini dan 1.7 peratus selepas 2018, sekali gus menangkis kekuatan fiskal Malaysia.

Mengenai pengenalan semula subsidi bahan bakar yang dirancang, Moody’s menyifatkan ia sebagai negatif kepada kredit Malaysia kerana langkah itu akan mengganggu mekanisme harga berasaskan pasaran.

Tindakan itu mampu menyerap kedua-dua kedudukan fiskal dan imbangan pembayaran di samping meningkatkan pendedahan hasil kerajaan kepada pergerakan harga minyak.

Menyentuh mengenai prospek pertumbuhan, Moody’s menegaskan perubahan pentadbiran kerajaan tidak akan mengubah secara langsung aliran pertumbuhan dalam masa terdekat.

“Pemasuhan GST mampu merancakkan penggunaan dalam sektor swasta dalam tempoh jangka pendek.

“Bagaimanapun, semakan projek mega juga menyebabkan pelaburan tidak hanya tertumpu kepada satu-satu projek berbanding jangkaan Moody’s sebelum ini,” katanya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat