Nampaknya ‘Laku Keras’ Saham Nilai Rendah

279

Saham-saham di Bursa Malaysia mencatat peningkatan kecil sewaktu dibuka pagi ini, didorong oleh aktiviti mencari saham berharga rendah yang susut termasuk kaunter sektor penjagaan kesihatan.

Pada 9.02 pagi ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.82 mata kepada 1,493.22 daripada 1,492.40 sewaktu dagangan ditutup semalam.

Indeks utama itu dibuka dengan meningkat 0.55 mata kepada 1,492.95.

Bernama melaporkan, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 202 berbanding 122 manakala 271 kaunter tidak berubah, 1,571 tidak diniagakan manakala 21 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan mencecah 262.55 juta unit bernilai RM94.86 juta.

Bursa tempatan itu turut mencatat aliran berbeza berbanding pasaran serantau yang menjejaki kelemahan pasaran saham Amerika Syarikat (AS) berikutan perbincangan mengenai pakej rangsangan fiskal negara itu terus berlanjutan.

Malah, pasaran Dow Jones, S&P dan Nasdaq juga susut sewaktu ditutup pada Rabu.

“Pasaran hadapan AS kekal rendah dan berikutan itu sentimen pasaran serantau juga dijangka berhati-hati akibat kelemahan itu,” demikian menurut Rakuten Trade menerusi nota penyelidikan ekuitinya hari ini.

Bagi pasaran tempatan, firma pembrokeran itu menjangkakan aktiviti mendapatkan saham berharga rendah akan menyaksikan KLCI kembali ke paras 1,500.

Sehubungan itu, firma berkenaan menggesa pelabur untuk memanfaatkan peluang berkenaan dengan membeli saham-saham penjagaan kesihatan, sarung tangan, pelitup muka dan lain-lain yang berkaitan selain saham yang bermodal kecil dan sederhana.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi seperti Maybank dan Public Bank masing-masing turun dua sen kepada RM7.13 dan RM15.74 manakala pengeluar sarung tangan getah, Top Glove dan Hartalega kembali meningkat hari ini selepas susut akibat aktiviti pengambilan untung semalam.

Top Glove naik lima sen kepada RM8.93 manakala Hartalega menokok empat sen kepada RM17.88.

Kaunter paling aktif didahului oleh Key Alliance yang turun 1.5 sen kepada setengah sen; Velesto dan Alam Maritim pula masing-masing tidak berubah pada 12 sen dan tiga sen manakala Mlabs pula naik setengah sen kepada tiga sen.

Bagi kaunter paling untung menyaksikan Malaysian Pacific yang meningkat 32 sen kepada RM20.40 selain United Plantation yang menambah 18 sen kepada RM14.60 dan Kossan Rubber naik 14 sen kepada RM7.46.

Bagi kaunter paling rugi, waran-waran Hartalega, Globetronics dan Supermax masing-masing susut sembilan sen, lima sen dan empat sen kepada RM1.41, RM2.90 dan RM1.04.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 2.72 mata kepada 10,840.06, Indeks FBMT 100 meningkat 11.62 mata kepada 10,641.61 manakala Indeks FBM Emas Shariah menambah 7.02 mata kepada 12,982.26.

FBM 70 pula menokok 38 mata kepada 14,349.66 dan FBM ACE pula melonjak 44.18 mata kepada 10,838.73.

Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan sebanyak 10.92 mata kepada 12,391.96 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.13 mata kepada 145.29 dan Indeks Perladangan naik 3.63 mata kepada 6,863.94.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat