Negara-Negara Membangun Asia Berdepan Penguncupan Buat Kali Pertama Sejak 1962

237

Pandemik coronavirus akan menyebabkan output ekonomi di negara-negara membangun Asia menguncup buat kali pertama dalam tempoh hampir 6 dekad pada tahun ini sebelum meningkat semula pada tahun hadapan, menurut Bank Pembangunan Asia (ADB) hari ini.

Negara-negara membangun Asia yang terdiri daripada 45 negara di Asia Pasifik, dijangka akan mengalami penguncupan sebanyak 0.7% pada tahun ini.

Tambah ADB menerusi laporan Asian Development Outlook terbaharunya itu, rantau Asia Pasifik diramalkan akan pulih dan mengalami pertumbuhan sebanyak 6.8% namun masih berada di bawah paras ramalan pra-Covid-19.

Ramalan terbaharu itu menunjukkan kesan yang dibawa oleh wabak berkenaan adalah lebih teruk daripada dijangkakan, apabila kira-kira tiga perempat ekonomi rantau tersebut akan merosot tahun ini.

“Kebanyakan ekonomi di rantau Asia Pasifik akan berdepan keadaan pertumbuhan yang sukar pada baki tahun ini.

“Ancaman pandemik Covid-19 terhadap ekonomi masih kuat berikutan penularan wabak terbabit yang belum reda berkemungkinan mendorong langkah pencegahan penyakit yang lebih ketat,” kata Ketua Ekonomi ADB, Yasuyuki Sawada dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tambah Sawada, selain ancaman pandemik, ketegangan geopolitik termasuklah perang perdagangan dan teknologi antara AS dan China akan turut merencatkan pertumbuhan ekonomi.

Ujar ADB, China diramalkan akan merekodkan pertumbuhan sebanyak 1.8% sahaja pada tahun ini namun dijangka akan kembali mengukuh sebanyak 7.7% pada tahun hadapan.

India pula diramalkan akan berdepan penguncupan sebanyak 9.0% tahun ini namun dijangka mengalami pertumbuhan semula sebanyak 8.0% pada tahun hadapan.

Keadaan ekonomi di Asia Tenggara turut diramalkan mengalami penguncupan sebanyak 3.8% tahun ini, sebelum bangkit semula tahun hadapan.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat