Nestcon Bhd Sasar Peroleh RM45.1 Juta Daripada IPO

445

Nestcon Bhd menyasarkan untuk memperoleh RM45.1 juta hasil daripada tawaran awam awal (IPO) di Pasaran ACE, susulan penyenaraiannya pada 29 Jun kelak.

Pengarah Urusan Kumpulan, Ir Dr Lim Jee Gin berkata, daripada jumlah itu, RM6 juta akan disediakan untuk mewujudkan kemudahan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi bahagian bangunan syarikat dan RM6.6 juta bagi jentera serta peralatan.

Sejumlah RM16.5 juta lagi akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, RM11 juta untuk modal kerja, RM1 juta bagi tujuan menaik taraf perisian dan sistem manakala RM4 juta disediakan bagi perbelanjaan penyenaraian.

IPO Nestcon merangkumi terbitan awam sebanyak 161 juta saham biasa baharu, pada harga ditetapkan 28 sen seunit.

Daripada keseluruhan terbitan, 32.2 juta saham akan ditawarkan kepada orang ramai; 32.2 juta saham untuk pengarah dan pekerja; 80.5 juta saham bagi pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); manakala 16.1 juta saham lagi untuk pelabur terpilih.

Selain itu, 32.2 juta saham sedia ada akan ditawarkan kepada pelabur terpilih melalui tawaran persendirian.

Apabila disenaraikan, permodalan pasaran Nestcon akan berada pada RM180.3 juta.

Nestcon yang ditubuhkan pada 2010, menjalankan kerja-kerja kejuruteraan awam dan infrastruktur di negara ini dan spektrum kepakarannya adalah luas merangkumi pembinaan hartanah kediaman, komersial, perindustrian dan riadah.

Pada masa ini, Nestcon mempunyai 22 kontrak yang sedang dilaksanakan bernilai kira-kira RM1.9 bilion, dengan RM1.2 bilion adalah jualan belum dibilkan.

Tambah Jee Gin, pihaknya menjangkakan bahagian yang belum dibil itu akan terus menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan syarikat hingga 2023.

Projek tersebut merangkumi Scarletz Suites, Mossaz dan Paxtonz oleh EXSIM Group; Panorama Residences oleh LLC Bhd; Embayu @ Damansara West oleh Premier Baycity Sdn Bhd; Kuchai Sentral oleh Menta Land Sdn Bhd; sebahagian daripada projek Laluan Rel Pantai Timur serta tiga seksyen projek kereta api di Johor.

Ujar beliau lagi, Nestcon telah membida projek-projek bernilai RM2.8 bilion, dengan RM1.88 bilion atau 40 tender adalah melibatkan kerja-kerja kejuruteraan awam dan infrastruktur manakala RM965 juta bagi pembangunan pembinaan bangunan.

Selain itu, menurut Jee Gin, syarikat itu kekal optimis terhadap prospek pertumbuhannya, sejajar dengan unjuran positif industri pembinaan.

Memetik unjuran oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dan Protégé Associates, beliau berkata, industri pembinaan Malaysia diunjurkan berkembang 7.0% pada tahun ini.

“Pemacu pertumbuhan termasuk penyambungan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur seperti ECRL dan Transit Aliran Massa (MRT) 2.

“Selain itu, ia juga digalakkan oleh inisiatif kerajaan untuk memulihkan pasaran hartanah dengan memperkenalkan kembali Kempen Pemilikan Rumah dan pengecualian duti setem,” jelasnya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat