News & Event Besar Tumpuan Pasaran Minggu Ini (15-19 Januari)

1,154

Umum mengetahui US dolar jatuh pada minggu keempat berturut-turut pada minggu lalu (8 Jan – 12 Jan) sehingga membawa indeks US dolar ke paras terendah sejak penghujung tahun 2014. Untuk pengetahuan anda US dolar juga mengalami kejatuhan terbanyak tahun lalu dengan kerugian tertinggi sejak tahun 2003 yang banyak disebabkan oleh ketidaktentuan polisi dan politik Amerika Syarikat.

Minggu lalu, selain daripada Euro, matawang utama seperti GBP dan Yen juga banyak merekod kenaikan di mana Sterling didorong oleh faktor serantau kenaikan matawang Euro dengan sentimen positif politik Jerman dan komen hawkish dalam minit mesyuarat ECB.

Selain daripada itu, Sterling juga mendapat berita positif di mana Belanda dan Sepanyol yang terbuka dengan perjanjian untuk membawa Britain terus dekat dengan Kesatuan Eropah (EU) selepas Brexit.

Data pengeluaran industri UK yang dikeluarkan Rabu lalu merekodkan kenaikan yang kukuh sekaligus menyokong kepada pertumbuhan ekonomi pada bulan terakhir 2017.

Manakala pengukuhan Yen dapat dilihat berbanding matawang-matawang utama khususnya pada hari Selasa lepas. Bank Pusat Jepun (BoJ) mengumumkan untuk memotong amaun pembelian bon 10-25 tahun daripada ¥200 billion kepada ¥190 billion. Selian itu, BoJ juga mengurangkan amaun pembelian bon 25 tahun ke atas daripada ¥90 billion kepada ¥80 billion.

Operasi pembelian bon oleh Bank of Japan sebenarnya adalah satu perkara yang rutin. Tetapi dengan pengurangan amaun pembelian bon jangka panjang menyebabkan spekulasi bertiup kencang bahawa BoJ telah mula membuat ‘tapering’.

Walaupun dengan tindakan pengetatan pembelian jumlah bon, Kuroda hari ini menegaskan Bank of Japan (BoJ) akan terus mengekalkan QQE (pelonggaran kuantitatif dan kualitatif) dengan mensasarkan keluk-hasil selama yang perlu untuk mencapai sasaran inflasi 2%.

Sebelum kita pergi lebih jauh, jom lihat berita dan event (peristiwa) penting tumpuan pasaran minggu ini.

#1 Data Inflasi UK (Selasa)

Data ini akan dikeluarkan pada Selasa pukul 5.30 petang. Ekonomi Britain agak tertekan dengan kenaikan inflasi yang tinggi sejak tahun lalu. Oleh itu, data inflasi akan terus menjadi fokus Bank of England (BoE) berikutan kadar yang kini berada pada 3%. Kenaikan inflasi juga telah memaksa bank pusat menaikkan kadar faedah  November lalu walaupun BoE masih bimbang dengan ketidaktentuan Brexit. Sepatutnya kadar faedah perlu dinaikkan lebih tinggi dengan inflasi yang melebihi sasaran ketika ini, tetapi bank pusat mengunjurkan inflasi akan susut secara beransur-ansur tahun ini.

#2 Data inflasi Zon-Eropah (Rabu)

Data ini akan dikeluarkan pada Rabu pukul 6 petang. Ini adalah bacaan terakhir suku tahunan pada 2017 dengan jangkaan pasaran 1.40%. Jika bacaan ini lebih daripada jangkaan, sudah tentu akan menambah pengukuhan euro ketika ini dengan andaian ceteris paribus.

#3 Penetapan polisi monetari Bank of Canada (Rabu)

Bank of Canada (BoC) akan mengumumkan polisi monetari mereka pada Rabu pukul 11 malam. BoC sekali lagi dijangka menaikkan kadar faedah buat kali ketiga dalam kitaran pengetatan mereka sejak tahun lalu dari 1.00% kepada 1.25%. Dalam penetapan sebelum ini, seakan menunjukkan bank pusat akan mengekalkan kadar faedah semasa dalam jangka masa yang lama, tetapi data-data ekonomi semasa begitu memberangsangkan sehingga sebahagian besar pasaran menjangkan satu lagi kenaikan kadar faedah pada Rabu.

Tinjauan perniagaan oleh bank pusat minggu lalu juga menunjukkan perkembangan memberangsangkan yang menunjukkan pertumbuhan yang pantas dalam ekonomi Kanada. Selain daripada itu, kenaikan harga minyak mentah dunia seakan menambah dorongan kepada pengetatan polisi bank pusat.

Namun, dengan jangkaan kenaikan kadar faedah ini, dolar Kanada (CAD) dijangka akan menjunam jika BoC tidak menaikkan kadar faedahnya pada Rabu.

#4 Data pekerjaan Australia (Khamis)

Data ini akan dikeluarkan pada Khamis pukul 8.30 pagi. Bacaan tertinggi dalam penghasilan pekerjaan di Australia sejak 1994 dijangka berterusan dengan pasaran menjangka tambahan 15,000 pekerjaan bulan lalu. Kadar pengangguaran dijangka tidak berubah dari 5.4%.

#5 Data pertumbuhan ekonomi China (Jumaat)

Data ini akan diumumkan pada Jumaat pukul 3 petang. Seperti biasa data China khususnya pertumbuhan dan pengeluaran akan menjadi perhatian kerana sumbangannya kepada ekonomi global. Paling banyak terkesan adalah Australia yang merupakan pengeksport terbesar komoditi kuprum dan bijih besi ke China untuk industri pembuatan ekonomi kedua terbesar itu.

Pertumbuhan ekonomi China pada suku keempat dijangka merekod bacaan 6.7% berbanding 6.8% yang dicatatkan pada suku ketiga 2017. Satu lagi data penting adalah bacaan pengeluaran industri yang dijangka kekal 6.1% berbanding bacaan sebelum ini.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat