NFP Hampir Tiba! USD Bakal Tersembam Lagi?

625

Mata wang gergasi US dolar terus kecundang dengan indeks dolar didagangkan pada paras terlemah empat bulan berbanding pesaing utamanya pada sesi Asia.

Komen terbaru dari Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell terus memberi tekanan buat raja mata wang itu ketika pasaran mengalihkan tumpuan kepada terbitan data pekerjaan NFP Amerika Syarikat.

Mengimbas semula data-data yang disiarkan pada sesi New York terdahulu, perbelanjaan pengguna peribadi (PCE) AS membuktikan bahawa tekanan inflasi di negara itu semakin mereda.

Ini sekali gus menyokong perubahan dasar Fed untuk ke arah pengetatan yang lebih sederhana berbanding langkah agresif yang dilaksanakan sebelum ini.

Sementara itu, data PMI pembuatan tinjauan ISM pula menunjukkan aktiviti perkilangan di AS jatuh ke bawah penguncupan pada bulan November dengan catatan 49.0 daripada 50.2 sebelumnya.

Angka 50 memisahkan perbezaan antara pengembangan dan penguncupan sesuatu aktiviti. Sekiranya bacaan di atas 50 menunjukkan pengembangan, manakala bawah 50 sebaliknya.

Menjadi tumpuan pelabur seterusnya adalah keluaran data NFP AS yang dijangka mencatatkan pertambahan pekerjaan lebih perlahan pada bulan November dengan kadar pengangguran pula kekal pada 3.7%.

Meneliti pergerakan mata wang utama lain, yen mengukuh pada paras tertinggi 3 bulan berbanding USD selepas penggubal dasar Bank of Japan (BOJ) Asahi Naguchi berkata bank pusat bersedia untuk menarik balik rangsangan jika inflasi terlalu tinggi.

Dagangan dolar Aussie dan kiwi juga menguat pada paras ketinggian 3 bulan walaupun pergerakan pada sesi Asia mendatar, dengan turut mendapat manfaat dari China yang mengumumkan pelonggaran ujian dan kawalan berkaitan Covid-19.

Mata wang euro dan pound pula menokok lebih tinggi, di mana masing-masing didagangkan pada paras terkuat 6 bulan dan 4 bulan berbanding US dolar.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat