Nokia Gagal, Di Mana Silapnya?

213

Pada sekitar tahun 1990-an dan awal tahun 2000-an, pasti ramai yang mengenali dan menggunakan telefon bimbit jenama Nokia.

Tidak disangkal lagi, jenama Nokia ketika itu menjadi pilihan rakyat Malaysia dan dunia. Pilihan telefon Nokia yang popular pada waktu tersebut adalah seperti Nokia 6600, Nokia 7610, Nokia 3650 dan Nokia N-Gage.

Ditambah pula dengan permainan popular Nokia seperti Snake, Bounce dan Space Impact selain nada deringnya yang boleh direka sendiri oleh para pengguna, menjadikan tarikan kepada orang ramai.

Nokia ditubuhkan pada 1865 di Finland dan pada mulanya mengusahakan perusahaan getah sebelum beralih kepada perkhidmatan servis kabel.

Selepas itu, Nokia perlahan-lahan menceburi bidang penghasilan telefon bimbit. Hasil daripada penghasilan telefon bimbit, Nokia telah memperoleh keuntungan sekitar RM112 bilion setiap tahun.

Bagaimanapun, populariti yang dikecapi oleh Nokia tidak bertahan lama terutamanya selepas pengenalan telefon pintar dan sistem operasi Android serta iOS mula menguasai pasaran dunia.

Pada 2007, Apple Inc yang waktu itu diterajui oleh Steve Jobs telah memperkenalkan iPhone pertama mereka. Keunikan dan kecanggihan iPhone yang memperkenalkan telefon pintar menggunakan skrin sesentuh ketika itu telah menarik minat para pengguna.

Nokia gagal bersaing dengan iPhone sehingga menyebabkan jenama Nokia terus merudum. Syarikat itu gagal melakukan pembaharuan terhadap produk telefon bimbitnya.

Syarikat berkenaan berasa sangat selesa dan yakin produk mereka akan terus mendapat perhatian dan menarik hati pengguna.

Jenama Nokia kemudiannya dijual kepada Microsoft yang dikendalikan oleh Bill Gates pada 2013. Bagaimanapun produk Microsoft Lumia yang dihasilkan oleh Nokia tidak mendapat tempat di hati pengguna dan akhirnya Microsoft terpaksa menghentikan pengeluarannya.

Nokia masih lagi berada dalam pasaran telefon pintar dunia namun kemunculan jenama-jenama seperti Poco dan Realme yang mampu menawarkan spesifikasi telefon pintar yang canggih pada harga rakyat marhaen dilihat memberikan persaingan kepada dunia telefon pintar.

Perkembangan itu telah menyebabkan Nokia semakin ke belakang dari segi pemilihan telefon pintar oleh para pengguna.

Sekiranya Nokia ingin kembali pada zaman kegemilangannya, pelbagai usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu dilakukan bagi memikat semula hati pengguna.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat