Minyak mentah jatuh ke paras terendah yang baru dalam masa 7 tahun Khamis semalam, selepas OPEC melaporkan bahawa ia sedang mengepam minyak pada tahap tertinggi dalam lebih daripada tiga tahun pada bulan November lalu; sekaligus memburukkan lagi kebimbangan berkaitan dengan lebihan bekalan di pasaran tenaga global. Pada masa yang sama, tiada satu pun bank pelaburan utama yang begitu positif dengan komoditi, dengan kebanyakannya menyarankan pelaburan yang berhati-hati.
Di New York Mercantile Exchange, Crude bagi penghantaran Januari jatuh lebih $1.10 setong untuk ke paras terendah harian sekitar $36.40 setong, sebelum menutup sekitar paras $36.65 setong – paras terendah sejak Februari 2009. Sejak memuncak di atas paras $100 setong 18 bulan yang lalu, kontrak bulan depan untuk Crude telah menjunam lebih daripada 80%. Di Intercontinental Exchange (ICE) London pula, Brent juga jatuh lebih $1.10 setong untuk ke paras terendah harian sekitar $39.45 setong, sebelum menutup sekitar paras $39.60 setong.
[adrotate group=”6″]
Pasaran kewangan telah bertarung dengan kesan deflasi tenaga sejak pertengahan 2014, dan kejatuhan telah berleluasa. Di pasaran ekuiti, lebih daripada $1 trilion permodalan pasaran telah hilang, akibat dari kejatuhan saham syarikat minyak dan tenaga di seluruh dunia. Di pasaran bon pula, hampir $2 trilion hutang yang dijual oleh syarikat tenaga dan perlombongan sejak 2010, yang kebanyakannya berpulangan tinggi tetapi tidak berkualiti – terutamanya dari syarikat-syarikat kecil, menghadapi gelombang penurunan penarafan kredit dan kebangkrapan yang semakin meningkat.