OPR Diunjur Turun Jika PKP 2.0 Dilanjutkan Lagi

330

UOB Asset Management Bhd menjangkakan satu lagi pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dibuat pada tahun ini sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) dilanjutkan melangkaui 4 Februari atau jika kerajaan memperkenalkan langkah sekatan yang lebih ketat.

Ketua Pegawai Pelaburan Francis Eng berkata, bagaimanapun, pengurangan kadar faedah selanjutnya tidak akan menjadikan pasaran pendapatan tetap negara kurang menarik kepada pelabur asing.

“Kita berada dalam persekitaran, yang mana kadar faedah global berada pada tahap yang sangat rendah dan terdapat trilion bon dengan hasil negatif di luar sana.

“Dengan banyak kecairan di luar sana, UOB berpendapat hasil di negara ini masih cukup menarik,” katanya seperti dipetik oleh Bernama pada taklimat media maya hari ini.

Ketika ini, penanda aras hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berada pada kira-kira 2.70%.

Minggu lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 1.75%.

Dalam pembentangan Eng sebelum ini, beliau menjelaskan sekuriti hutang Malaysia tidak hilang tarikan dan kekal mendapat perhatian pelabur asing, walaupun penarafan kedaulatan Malaysia oleh Fitch Ratings Inc pada tahun lalu jatuh kepada BBB+.

“Persekitaran kadar faedah global yang rendah amat menyokong pasaran pendapatan tetap Malaysia.

“Tidak seperti pasaran ekuiti, UOB telah melihat pelabur asing memasuki Malaysia dalam ruang pendapatan tetap, tetapi warga asing terus membeli sekuriti pendapatan tetap Malaysia,” ujar beliau.

Beliau ketika memetik data daripada BNM dan pembekal data CEIC berkata, jumlah sekuriti hutang pegangan asing di Malaysia adalah sebanyak RM223.0 bilion, meningkat daripada RM219.4 bilion pada November 2020 dan RM217.5 bilion pada Oktober 2020.

Sama juga, jumlah aliran masuk bulanan sekuriti hutang kekal di wilayah positif, dengan RM3.6 bilion dicatatkan semasa Disember 2020, RM1.9 bilion pada November 2020 dan RM8.0 bilion pada Oktober 2020.

Daripada segi prestasi ekonomi, Eng meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara hanya akan pulih semula ke paras sebelum Covid-19 menjelang 2022 dan bukannya 2021 akibat PKP 2.0 yang sedang berjalan.

“Ini bagaimanapun bergantung kepada apa yang berlaku dalam PKP 2.0, kerana situasi masih tidak menentu dan tidak mudah untuk membuat sebarang jangkaan.

“Tetapi secara asasnya, kami yakin keberangkalian untuk pemulihan berlaku lebih besar pada 2022,” katanya.

Secara keseluruhan, Eng meramalkan ekonomi Asia akan meningkat melepasi paras sebelum Covid-19 pada 2021, yang diterajui China, kuasa ekonomi pertama yang akan pulih daripada Covid-19.

Bagi ASEAN, beliau menjangkakan sektor seperti kewangan, pengguna dan hartanah akan mendapat manfaat daripada pembukaan semula ekonomi.

Melangkah ke hadapan, Eng berkata, ekonomi global akan dipengaruhi oleh faktor seperti dasar fiskal dan monetari kerajaan yang kekal menyokong pasaran di peringkat global serta pelancaran vaksin COVID-19 yang akan meletakkan ekonomi di laluan pemulihan.

“Penerusan faktor positif bagi Asia merangkumi faktor-faktor seperti kelemahan dolar US termasuk pengenduran perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China,” jelasnya.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat