Ops! Makin Jauh Pula USD Terjun

417

Susulan pergerakan yang menyuramkan pada sesi sebelumnya, kebanyakan mata wang utama mula bergerak lebih agresif apabila pasaran melangkah masuk ke sesi Eropah.

US dolar susut lebih rendah walaupun pada hujung minggu lalu, beberapa penggubal dasar Federal Reserve (Fed) menegaskan pendirian untuk terus melanjutkan pengetatan dasar.

Gabenor Fed, Christopher Waller menyatakan sokongannya untuk satu lagi kenaikan ketara pada mesyuarat FOMC minggu depan, tetapi US dolar gagal meraih pengukuhan.

Bagaimanapun, alat FedWatch menunjukkan bahawa pasaran kini melihat kebarangkalian 90% untuk peningkatan sebanyak 75 mata asas.

Fokus utama pasaran kini disasarkan kepada penerbitan data inflasi Amerika Syarikat pada Selasa yang dijangka akan terus mencatatkan penurunan pada bulan Ogos.

Mata wang euro pula melonjak ke paras tertinggi 3 minggu berbanding greenback, dengan sokongan daripada pembuat dasar Bank Pusat Eropah (ECB) yang menghidupkan semula harapan untuk satu lagi kenaikan 75 mata asas pada Oktober.

Selain itu, terdapat juga laporan yang mengatakan ECB melihat risiko yang semakin meningkat untuk menaikkan kadar faedah kepada 2% atau lebih tinggi.

Di samping itu, mata wang pound juga didagangkan tinggi walaupun bacaan data terbaru menunjukkan ekonomi UK berkembang lebih perlahan daripada dijangkakan pada bulan Julai.

Sementara itu, yen gagal mempamerkan pergerakan lebih ketara walaupun selepas Timbalan Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Seiji Kihara menggesa kerajaan mengambil langkah yang perlu untuk mengatasi penyusutan nilai yen yang melampau.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat