Orang Yahudi Tak Minum Starbucks?

11,113

Sebelum ini kempen memboikot produk Starbucks sering dilancarkan sama ada di Malaysia  atau di negara yang lain kerana Starbucks didakwa menyalurkan dana kepada Israel untuk melakukan kekejaman terhadap penduduk Palestin.

Namun tahukah anda bahawa Starbucks sebenarnya ‘sukar cari makan’ di Israel?

Pada tahun 2001, Starbucks memasuki pasaran Israel tetapi dua tahun kemudian, Starbucks dikhabarkan gulung tikar.

Jika dilihat secara fakta, Starbucks merupakan rangkaian kedai kopi milik Amerika Syarikat (AS) yang terbesar di dunia. Pada awal tahun ini, syarikat berkenaan telah mengendalikan lebih 30,000 cawangan di lebih 70 buah negara.

Tetapi mengapa Starbucks yang popular di seantero dunia, sukar untuk menjana keuntungan di Israel? Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada situasi tersebut.

Faktor pertama adalah Starbucks hanya buka satu cawangan di satu bandar iaitu Tel Aviv, maka penduduk di bandar-bandar lain tidak sempat untuk mengenali dan merasai Starbucks.

Starbucks di Israel dimiliki oleh syarikat konglomerat, Delek Group. Syarikat tersebut memiliki 80.5% saham Starbucks di Israel. Firma berkenaan merupakan antara syarikat terbesar di Israel dan terbabit dalam sektor tenaga serta infrastruktur.

Hanya 6 cawangan sahaja dibuka di Israel dalam tempoh dua tahun tetapi kesemuanya terletak di Tel Aviv. Starbucks merancang untuk membuka cawangan di Baitulmuqaddis tetapi menarik balik pelan berkenaan kerana bimbang tentang ancaman pemberontak.

Tel Aviv dikenali sebagai ‘syurga makanan’ bagi penggemar makanan kerana terdapat beratus restoran tempatan dan makanan jalanan di situ.

Tambahan pula, masyarakat Yahudi gemar untuk minum kopi dalam kehidupan seharian mereka. Oleh itu, Starbucks menjangkakan perniagaan mereka akan laku di situ.

Faktor yang kedua adalah masyarakat Israel tidak begitu menggemari minum kopi dalam cawan kertas. Mereka beranggapan minum dengan menggunakan cawan kertas lebih sinonim untuk dibawa pulang ke rumah. Berbeza di AS, rakyat negara itu lebih cenderung membeli Starbucks untuk dibawa ke pejabat misalannya.

Masyarakat Israel lebih gemar untuk minum kopi sambil berborak dengan rakan-rakan di kedai.

Faktor yang ketiga adalah kopi Starbucks tidak menepati citarasa masyarakat Israel. Mereka lebih meminati kopi dari Itali disebabkan oleh faktor geografi antara Israel dan Itali.

Kedai kopi tempatan seperti Aroma Espresso Bar dan Arcafe menghidangkan kopi premium Itali, jadi mereka lebih memilih kedai-kedai seperti ini berbanding Starbucks.

Disebabkan Starbucks tidak mendapat sambutan yang hangat di Israel, syarikat itu secara rasminya menarik diri daripada pasaran Israel.

Penutupan Starbucks mencetuskan pelbagai kontroversi selepas timbul khabar angin mendakwa cawangan kedai kopi terbabit ditutup kerana isu politik. Ramai yang mendakwa Starbucks ditutup ekoran boikot penduduk Arab terhadap perniagaan AS di Israel.

Bagaimanapun, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Starbucks di Eropah, Timur Tengah dan Afrika, Bill O’Shea menerusi kenyataan dikeluarkan memaklumkan Starbucks ditutup di Israel atas faktor perniagaan dan bukannya isu politik.

Pada 2005, Starbucks cuba merancang untuk membuka balik perniagaannya di Israel namun pelan itu terkubur begitu sahaja.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat