Palestin-Israel Capai Gencatan Senjata, Tamatkan Konflik 11 Hari

877

Selepas berperang selama 11 hari, akhirnya Palestin dan Israel mencapai kata sepakat untuk melakukan gencatan senjata.

Gencatan senjata tersebut dilaksanakan awal hari ini, sekali gus menamatkan konflik yang mengakibatkan lebih 240 orang terkorban termasuk kira-kira 65 kanak-kanak di Gaza.

Sejurus berita gencatan senjata itu dilaporkan, penduduk Palestin membanjiri jalan raya di sekitar Gaza sambil bersorak gembira.

Pejuang Hamas dan rejim Zionis kedua-duanya mendakwa telah menang dalam konflik tersebut.

Menurut pegawai Hamas, gencatan senjata yang diumumkan oleh Israel menandakan kemenangan buat penduduk Palestin dan kekalahan bagi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Namun bagi wakil Majlis Perhubungan Antarabangsa Hamas, Basem Naim berkata, beliau skeptikal sama ada gencatan senjata itu akan bertahan lama.

“Tanpa keadilan untuk penduduk Palestin, tanpa menghentikan kekejaman Israel terhadap rakyat kami di Baitulmuqaddis, gencatan senjata itu dilihat rapuh,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyifatkan gencatan senjata itu sebagai perkembangan yang positif.

Beliau turut memuji Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi kerana menjadi ‘orang tengah’ dalam rundingan gencatan senjata antara Palestin-Israel.

Terdahulu, Biden menggesa Netanyahu menghentikan konflik tersebut.

Semalam, lebih 100 bedilan udara dilancarkan oleh Isral yang disasarkan ke arah infrastruktur Hamas di utara Gaza. Hamas kemudiannya membalas serangan itu.

Pertempuran di Gaza tercetus pada 10 Mei lalu selepas ketegangan kian memuncak selama berminggu lamanya di Baitulmuqaddis Timur sehingga menyebabkan pertempuran antara kedua-dua pihak.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat